Hari Sarawak perkukuh perpaduan, pacu kemajuan negeri

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Sambutan Hari Sarawak terus menjadi platform penting dalam memperingati sejarah pembentukan negeri ini, di samping memperkukuh semangat perpaduan serta jati diri rakyat pelbagai kaum.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, tarikh 22 Julai merupakan detik bersejarah yang menandakan bermulanya pentadbiran Sarawak oleh anak tempatan, sekali gus menjadi asas kepada perjalanan negeri ini sebelum pembentukan Malaysia.

Menurut beliau, kemajuan yang dikecapi Sarawak hari ini merupakan hasil perpaduan kukuh rakyat berbilang kaum serta kesinambungan kepimpinan yang sentiasa komited membawa negeri ke arah pembangunan mampan dan kemakmuran.

“Semangat Hari Sarawak mengingatkan kita bahawa kekuatan sebenar negeri ini terletak pada perpaduan rakyat serta kesungguhan kita membina masa depan yang lebih baik.

“Pada masa yang sama, Sarawak terus melakar kemajuan menerusi transformasi ekonomi yang dipacu oleh tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan pembangunan industri bernilai tinggi,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Sarawak 2026, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan menerusi pelaksanaan pendidikan tinggi percuma untuk anak-anak Sarawak, selain meneruskan pelbagai projek infrastruktur termasuk pembinaan jalan raya, jambatan dan rangkaian perhubungan luar bandar.

Katanya, pembangunan yang dilaksanakan bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di seluruh pelosok negeri.

Dalam pada itu, Awang Tengah menegaskan kerajaan Sarawak akan terus mempertahankan dan memperkukuh hak-hak negeri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Sarawak agar terus memelihara perpaduan, keharmonian dan semangat bekerjasama dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.

“Marilah kita bersama-sama membina Sarawak yang lebih makmur, inklusif dan berdaya tahan demi kesejahteraan generasi masa kini serta generasi akan datang.

“Semoga Sarawak terus maju, aman dan sentiasa diberkati,” katanya.

Oleh Norman B