
SIMANGGANG: Seluruh rakyat Sarawak yang menyambut Hari Sarawak hari ini iaitu pada 22 Julai adalah bagi memperingati detik bersejarah negeri ini mencapai pemerintahan sendiri daripada penjajahan British pada 22 Julai 1963.
Tarikh bersejarah ini menjadi simbol penting dalam perjuangan rakyat Sarawak ke arah kemerdekaan penuh dan penentuan hala tuju negeri secara berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata, sambutan Hari Sarawak merupakan peluang untuk mengenang jasa serta pengorbanan pemimpin terdahulu yang berjuang demi masa depan negeri ini.
“Pada hari yang bersejarah ini, kita bukan sahaja memperingati pengorbanan pemimpin terdahulu, tetapi juga memperkukuhkan semangat perpaduan, memperteguhkan autonomi serta meneruskan agenda pembangunan Sarawak tercinta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa Sarawak kini terus melangkah maju dengan acuan sendiri dalam Malaysia, berpegang teguh kepada semangat kestabilan politik dan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum.
“Semoga semangat 22 Julai sentiasa membara dalam hati setiap anak Sarawak, menjadi pemangkin untuk membina masa depan yang lebih cemerlang dan sejahtera,” ujarnya.
Doris turut menggesa rakyat Sarawak agar terus bersatu padu dan mendukung agenda pembangunan negeri demi kemakmuran generasi akan datang.
“Selamat menyambut Hari Sarawak kepada seluruh rakyat di Bumi Kenyalang, marilah kita terus bersatu padu dalam meneruskan perjuangan membina Sarawak yang lebih maju, harmoni dan berdaulat,” katanya
Oleh Adi Safarman