
MIRI: Seluruh rakyat Miri dan kawasan sekitarnya dijemput hadir untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Sarawak 2025 yang akan berlangsung dari 20 hingga 22 Julai ini.
Menteri bertanggungjawab untuk sambutan itu, Dato Sri Lee Kim Shin berkata pelbagai acara yang telah disusun sepanjang sambutan tiga hari itu.
“Antara pengisian-pengisian program yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh sambutan itu ialah Karnival Jualan, Sarawak Talent, Unity Walk hinggalah ke Perhimpunan Hari Sarawak sebagai tanda sokongan dan kecintaan kita terhadap negeri bertuah ini.
“Kehadiran anda semua bukan sahaja menyemarakkan sambutan, tetapi turut melambangkan semangat perpaduan dan kebanggaan sebagai rakyat Sarawak yang bersatu di bawah panji Sarawak Maju Makmur,” katanya.
Kim Shin yang juga merupakan Menteri Pengangkutan berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa di sini, petang tadi.
Menurut Kim Shin, sambutan Hari Sarawak bertujuan menyemai semangat cintakan negeri, menghargai sejarah dan perjuangan kemerdekaan Sarawak serta meraikan kemajuan dan pencapaian yang dikecapi.
Ia juga bertujuan mengukuhkan perpaduan rakyat pelbagai kaum, memperkasa jati diri dan semangat kenegaraan, mengiktiraf sumbangan semua pihak dalam pembangunan Sarawak, serta mengeratkan hubungan antara kerajaan dan rakyat melalui penglibatan komuniti secara menyeluruh.
“Diharapkan agar sambutan Hari Sarawak ini dapat menyemarakkan semangat cintakan Sarawak dalam kalangan rakyat, seterusnya meningkatkan kesedaran tentang pentingnya perpaduan, tolak ansur dan kerjasama antara kaum.
“Semoga rakyat terus bersatu hati dalam mendukung aspirasi Sarawak Maju Makmur, berganding bahu memajukan negeri, serta menghargai sejarah dan identiti kita sebagai anak Sarawak yang berdaulat, harmoni dan berdaya saing,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling