Selang beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari Raya. Perayaan ini merupakan salah satu perayaan penting bagi umat Islam di dunia termasuk di Sarawak. Sejak Islam bertapak di Sarawak, amalan meraikan perayaan ini berterusan sehingga ke hari ini.
Semasa Sarawak di bawah pemerintahan keluarga Brooke, amalan harian umat Islam tidak diganggu. Malahan, umat Islam di Sarawak tetap mengerjakan amalan ajaran Islam seperti mendirikan solat, berzakat, berpuasa dan belajar kitab suci Al-Quran serta meraikan Hari Raya.
Jikalau hari ini penentuan tarikh mula berpuasa dan bila pula Hari Raya akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, pada malam berkenaan ramai akan menunggu di depan kaca televisyen untuk mengetahui tarikh bermulanya puasa dan Hari Raya. Penyebaran maklumat ini mudah melalui media elektronik, yang bukan sahaja melalui television, untuk memberi tahu tentang hari penting tersebut kepada umat Islam, tetapi juga disampaikan melalui corong-corong radio. Malahan, media sosial hari ini juga berperanan dalam penyebaran pengumuman ini.
Berbeza daripada keadaan Sarawak pada era pemerintahan Brooke, maklumat tentang pengumuman ini disampaikan dengan cara yang lebih unik. Pada era tersebut, tembakan meriam dilakukan pada sebelah malam apabila anak bulan Syawal kelihatan. Di Kuching, sebanyak 14 das tembakan meriam akan kedengaran bagi memaklumkan bermulanya Hari Raya. Oleh kerana saiz Sarawak yang besar, maka setiap kubu di bandar dan pekan utama di Sarawak akan juga turut melepaskan tembakan meriam bagi menandakan Hari Raya. Manakala di kampung-kampung pula, peranan masjid dan surau penting dalam pemakluman ini. Beduk akan dipalu di setiap masjid dan surau, menandakan hari penting tersebut. Sementara itu Hari Raya telah dijadikan hari kelepasan am oleh pihak pemerintah Brooke. Keadaan ini juga berlaku semasa Sarawak di bawah pemerintahan British.
Pada pagi Syawal tersebut juga, umat Islam yang berpakaian berwarna-warni akan pergi ke masjid bagi menunaikan solat sunat Hari Raya. Manakala malamnya pula, kampung-kampung Melayu diterangi pelita. Aktiviti ini berterusan sehingga ke hari ini dengan lampu neon yang direka dalam pelbagai bentuk. Malahan, pada satu ketika, pernah dibuat pesta bertuntung bagi setiap kampung. Tambahan daripada itu, pintu gerbang yang dihiasai lampu-lampu berwarna-warni dibina di setiap pintu masuk kampung untuk memeriahkan lagi perayaan Hari Raya.
Semasa pemerintahan Brooke ini juga, beberapa acara dan persembahan diadakan di banglo kerajaan untuk menyerikan perayaan tersebut. Ada juga aktiviti regata diadakan semasa hari raya tersebut. Aktiviti ‘berjarah’ atau bersalaman semasa bertandang ke rumah rakan untuk merayakan hari raya juga diamalkan. Orang bukan Islam juga menziarahi rumah rakan Islam mereka termasuklah juga pegawai Barat yang tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke rumah orang Islam pada Hari Raya ini.
Pada awal pemerintahan British di Sarawak, terdapat sedikit perbezaan pendapat dalam kalangan orang Islam berhubungan dengan penetapan tarikh Hari Raya. Hal ini berpunca dari isu penyerahan Sarawak kepada British yang membawa perpecahan dalam kalangan penduduk Islam di Sarawak. Bagi yang tidak menyokong penyerahan Sarawak, mereka tidak mengiktiraf pengumuman Hari Raya oleh kerajaan. Kejadian yang berlaku pada tahun 1947 itu menyebabkan beberapa kawasan di Sarawak menyambut Hari Raya pada tarikh yang berbeza. Hal ini terjadi kepada penduduk di Bintulu, Oya, Dalat dan Hilir Rejang serta Miri yang meraikan Hari Raya pada hari yang berlainan dengan tarikh yang diumumkan oleh pihak kerajaan. Namun demikian perbezaan umat Islam dalam hal ini tidaklah serius dan umat Islam tetap menunjukkan ukhwah antara mereka selepas kejadian tersebut.
Dalam aspek hidangan dan jamuan semasa Hari Raya pula, amalan biasa dilakukan adalah membuat kuih-kuih tradisional seperti bahulu, kuih jala dan kuih cincin untuk dijadikan juadah yang dihidangkan kepada tetamu yang datang. Satu perubahan telah berlaku terhadap hidangan Hari Raya ini apabila munculnya pembuatan kek lapis dalam kalangan masyarakat Melayu Sarawak. Pengaruh pembuatan kek lapis ini datang dari Indonesia. Pengaruh penjajah Belanda terhadap sajian penduduk Indonesia membawa kepada pengenalan kek lapis ini yang terus menjalar ke Sarawak.
Fenomena pembuatan kek lapis ini dikatakan bermula pada sekitar tahun 1970-an dan 1980-an di Sarawak. Kearifan penduduk Sarawak dalam pembikinan kek lapis telah menghasilkan kek-kek moden. Jikalau dahulu kek-kek tradisional seperti kek belacan, kek buah, kek hati parik, kek pilih kasih dan kek lumut menjadi hidangan semasa Hari Raya, tetapi dekad-dekad lewat 1980-an muncul kek moden dengan menggunakan nama-nama semasa. Pernah satu ketika apabila Sarawak menganjurkan Sukan Malaysia atau SUKMA muncul pula kek Sukma. Begitu juga nama-nama seperti kek Awan Nano, kek Holiday Inn, kek Harimau Malaya, kek Diva, kek Sabok Tun Razak dan kek Songket Sarawak.
Tradisi menghidang kek lapis ini semasa Hari Raya berbeza mengikut zaman. Jikalau dahulu kek lapis ini akan dihidangkan lima hingga lapan jenis kek di meja ruang tamu, tetapi hari ini pula kek tersebut dipotong bentuk kecil dan diletakkan dalam bekas tertentu bagi menjamu tetamu. Selain kek, masyarakat Islam di Sarawak, seperti masyarakat di Semenajung Malaysia, akan menghidangkan kari, daging masak hitam dan lemang serta ketupat semasa Hari Raya. Selain itu, orang Sarawak dan juga di Brunei terkenal dengan kelupis. Makanan berasaskan beras pulut yang dikukus itu, memang terkenal dan salah satu identiti tersendiri penduduk Sarawak.
Salah satu lagi tradisi semasa perayaan Hari Raya ini ialah menghidangkan air berkarbonat. Sebelum Syawal tib,a kedai-kedai akan menjual air berkarbonat dalam bentuk tin dan botol. Pelbagai jenis perisa dari oren hingga strawberi dijual kepada pelanggan. Bila tradisi ini bermula agak sukar dikenal pasti. Namun demikian, industri pembuatan air berkarbonat ini telah ada semasa zaman sebelum Sarawak merdeka lagi. Kilang-kilang pembuatan air berkarbonat telah muncul dan kemungkinan menyumbang kepada tradisi air berkarbonat atau biasa dikenali oleh penduduk Sarawak sebagai air tin.
Begitulah serba sedikit catatan saya mengenai sejarah mengenai Hari Raya di Sarawak yang penuh warna-warni. Akhir sekali saya mengucapkan selamat menyambut Hari Raya kepada semua umat Islam. Maaf zahir dan batin.
Dr. Suffian Mansor adalah pensyarah kanan dan Ketua Program Sejarah di Universiti Kebangsaan Malaysia.