Sofie Sofian
Seperti perayaan-perayaan utama yang lain di negara ini, ketibaan Hari Raya Aidilfitri sentiasa dinanti-nantikan terutamanya bagi masyarakat beragama Islam setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan.
Akan tetapi, tahun ini sambutan Hari Raya Aildilfitri agak berlainan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 4 Mei setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKB) yang dilaksanakan bermula pertengahan Mac lalu ditamatkan.
Perkembangan positif dari segi penurunan jumlah kes baharu dan kematian di Malaysia akibat pandemik COVID-19 telah meyakinkan pihak kerajaan untuk melonggarkan sedikit PKP dan menetapkan peraturan-peraturan yang disesuaikan mengikut keperluan negara.
Pengumuman demi pengumuman telah dibuat oleh pihak kerajaan yang sedikit sebanyak memberi harapan kepada masyarakat yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai yang menyusul sejurus itu. Antara arahan PKPB untuk sambutan Hari Raya adalah kunjungan tidak melebihi 20 orang pada Hari Raya pertama sahaja.
Bagi pengusaha kek dan katering Saadiah Kedri, 46, persiapan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dibuat secara sederhana dan ala kadar memandangkan PKPB menetapkan agar sambutan dibuat dalam kalangan keluarga terdekat sahaja.
“Tetapi seperti biasa, saya akan menyediakan jamuan pagi Hari Raya untuk keluarga dengan masakan rendang, kari, kelupis dan hidangan lain,” jelas beliau, “saya bersyukur kerana dapat bersama-sama anak-anak dan ahli keluarga lain meskipun tidak semua adik-beradik dapat balik kali ini.”
Beliau juga memaklumkan nahawa beliau sentiasa memastikan bekalan makanan mencukupi dan tiada pembaziran berlaku memandangkan keadaan ekonomi semasa yang agak membimbangkan.
Seperti Saadiah, Fuzna Abd. Majid yang bertugas di salah sebuah hotel di Bandaraya Miri juga akan menyambut Hari Raya bersama keluarga terdekat sahaja di Kampung Luak.
Katanya, “persiapan dan sambutan mungkin tidak semeriah kebiasaannya tetapi saya tetap memastikan keutamaan diberikan kepada anak-anak seperti menyediakan baju raya untuk mereka. Sambutan Hari Raya tahun ini mungkin agak suram kerana tiada penganjuran rumah terbuka dan aktiviti ziarah-menziarahi seperti kebiasaannya tetapi yang penting adalah adanya suami, anak-anak, ibu bapa, adik beradik dan nenek bersama-sama meraikannya di bawah satu bumbung.”
Penjawat awam Mohd. Awis Abu Bakar pula akan berhari raya bersama keluarga beliau di Kampung Selanyau, Bekenu.
“Ia adalah rutin bagi saya dan keluarga untuk pulang ke kampung setiap Hari Raya. Kebiasaannya kami akan mula berkumpul seminggu sebelum Hari Raya untuk membuat persiapan tetapi tahun ini, persiapan hanya akan dibuat beberapa hari sebelum,” sambung beliau lagi, “secara umumnya kehidupan kita semua agak terjejas dengan situasi yang disebabkan oleh wabak COVID-19 dan semestinya ia agak terasa semasa kita merayakan hari lebaran kali ini.”
Ujar beliau lagi, “saya akan memastikan saya dan ahli keluarga saya sentiasa mengamalkan saranan-saranan pihak berkuasa seperti sentiasa mencuci tangan, penjarakan sosial dan menggunakan penutup hidung dan mulut bagi memastikan keselamatan semua.”
Mohd. Awis turut menyatakan, “kita perlu memahami situasi negara yang sedang menghadapi pandemik ini. Apa salahnya kita berkorban sedikit tahun ini demi bersama-sama memutuskan rangkaian COVID-19. Kita duduk di rumah sahaja, beraya bersama keluarga terdekat dan tidak keluar tanpa urusan penting. Kita gunakan platform media sosial yang sedia ada untuk berkongsi gambar atau video bersama ahli keluarga yang berada di tempat lain.”
Surirumah Adelin Mohd. Adenan juga mempunyai sentimen yang serupa dengan membuat persiapan sambutan Hari Raya yang sederhana dan hanya melibatkan keluarga terdekat.
“Tahun ini saya tidak membeli baju, biskut mahupun kek raya. Sebaliknya saya membuat sendiri juadah Hari Raya untuk dinikmati bersama keluarga,” katanya lagi, “cuma yang agak menyedihkan tahun ini, suami saya yang bertugas di luar negara tidak dapat pulang berhari raya.”
Ibu kepada seorang cahayamata itu berkata beliau seperti selalu akan menggunakan khidmat panggilan video untuk menghubungi dan berbual dengan suaminya semasa Hari Raya kelak.
“Walaupun kita tidak dapat menyambut Hari Raya seperti tahun-tahun sebelum ini, kita masih boleh mengeratkan silaturrahim dengan sanak saudara dan rakan-rakan melalui media sosial dan media komunikasi lain,” jelas beliau.
Seorang peniaga runcit yang hanya ingin dikenali sebagai Bahar, merasa tekanan akibat kekurangan punca pendapatan seperti majoriti peniaga lain dan musim perayaan yang selalunya memdatangkan keuntungan tahun ini tidak menyebelahi mereka.
“Oleh kerana keadaan sebegini, saya dan keluarga hanya akan menyambut hari lebaran kali ini secara sederhana iaitu tidak pulang ke kampung halaman tetapi beraya di rumah sahaja,” ujar beliau, “anak-anak semua memahami keadaan sekarang dan mereka akur dengan keputusan yang dibuat.”
Secara umumnya, ramai yang mengetahui walaupun PKPB adalah sesuatu yang menimbulkan keresahan serta kesukaran secara amnya, ia adalah langkah terbaik yang diambil oleh kerajaan bagi memastikan COVID-19 dapat dihentikan penularannya dan semua usaha yang dilakukan adalah untuk masa hadapan yang lebih baik dari pelbagai aspek. Apa yang penting ialah mematuhi arahan dan saranan yang ditetapkan sebagai normal baharu.