PETRA JAYA: Hari pertama Borneo Sonic Music Festival (BSMF) 2024 memukau ribuan penonton yang memenuhi Stadium Sarawak, malam tadi.
Peminat dari dalam dan luar negara mula membanjiri kawasan sekitar stadium seawal jam 3 petang, menggambarkan keterujaan terhadap festival tahunan ini.
Sejak diperkenalkan pada 2023, festival muzik terbesar di Borneo ini terus menjadi fenomena dengan menampilkan barisan artis tempatan dan antarabangsa yang hebat.
Rain, penyanyi dan pelakon dari Korea Selatan, menutup malam pertama dengan persembahan yang luar biasa apabila beliau menghidupkan suasana dengan membawakan beberapa lagu hits seperti ‘Rainism’ dan ‘La Song’.
Tidak ketinggalan, penyanyi terkenal dari Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), juga memukau penonton dengan alunan merdu lagu-lagu popularnya, seperti ‘Wanita Terbahagia’ dan ‘Cinta Sejati’, memberikan sentuhan emosi yang luar biasa.
Festival ini juga dimeriahkan dengan persembahan bertenaga daripada artis tempatan seperti Thomas Kok, Priscilla Abby dan Namewee, yang membawa elemen tempatan kepada pentas bertaraf antarabangsa.
Penampilan artis lain seperti Youngjae dari GOT7, Junny, Yeon Seobin, DJ Ujoo, dan 4EVE dari Thailand turut menghangatkan pentas dengan variasi genre muzik yang dipersembahkan.
BSMF 2024 berlangsung selama dua hari, bermula semalam, 11 Oktober dan hari ini, 12 Oktober dengan kejutan dan persembahan menakjubkan pada hari terakhir.