YANGON: Sekurang-kurangnya 38 orang mati semalam pada pada ‘hari paling berdarah’ dalam krisis Myanmar, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ia ekoran junta menentang protes yang semakin meningkat terhadap rampasan kuasa dengan tindakan keras yang dikatakan Amerika Syarikat (AS) sebagai ‘terkejut dan benci’.
Myanmar mengalami kekacauan sejak 1 Februari lalu apabila tentera menggulingkan dan menahan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi, mengakhiri eksperimen selama satu dekad negara dengan demokrasi dan mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran setiap hari.
Tekanan antarabangsa semakin meningkat yang mana kuasa Barat berulang kali menekan Jeneral Myanmar dengan sekatan, Britain meminta mesyuarat Majlis Keselamatan PBB, dan selepas kematian semalam, AS menyatakan sedang mempertimbangkan tindakan selanjutnya.
Namun, junta setakat ini mengabaikan kecaman global, menangani protes dengan kekerasan yang semakin meningkat.
“Hari ini sahaja 38 orang mati,” utusan PBB ke Myanmar, Christine Schraner Burgener, memberitahu wartawan sambil menambah lebih 50 orang telah mati sejak pengambilalihan kuasa oleh tentera, dengan banyak lagi yang cedera.
“Hari ini adalah hari paling berdarah sejak rampasan kuasa berlaku,” katanya, tanpa memberikan keterangan lebih lanjut, termasuk perincian kematian.
Beliau meminta PBB supaya mengambil ‘langkah yang sangat keras’ terhadap Jeneral tentera, dan menambah bahawa dalam perbincangannya dengan pihak terbabit, mereka telah menolak ancaman sekatan.
Beliau berkata, junta berjanji untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh ‘setahun’.
“Saya akan terus berusaha, kami tidak akan berputus asa,” katanya.
Keganasan itu membuat AS ‘terkejut dan benci,” kata jurucakap Jabatan Luar Negara, Ned Price, menyatakan kepada wartawan.
“Kami menyeru semua negara supaya bersatu hati mengutuk keganasan yang dilakukan oleh tentera Myanmar terhadap rakyatnya sendiri.”
Beliau merujuk China, yang sering dianggap musuh AS sebagai sekutu utama tentera Myanmar.
“China memang mempunyai pengaruh di rantau ini. Ia memang mempunyai pengaruh dengan junta. Kami telah meminta China supaya menggunakan pengaruh itu dengan cara yang membina, dengan cara yang memajukan kepentingan rakyat Myanmar,” kata Price.
Beliau berkata, AS yang telah mengenakan sekatan terhadap pemimpin junta, sedang meneliti tindakan selanjutnya
Pada masa sama, pihak berkuasa tentera Myanmar mendakwa seorang jurugambar Associated Press (AP) dan lima lagi wartawan yang membuat liputan protes menentang rampasan kuasa.
Jurugambar AP, Thein Zaw, 32, ditahan pada Sabtu lalu selepas dia membuat liputan tunjuk perasaan di Yangon.
Myanmar tegang sejak 1 Februari lalu apabila tentera menahan Aung San Suu Kyi dan pemimpin awam lain, sekali gus mengakhiri proses demokrasi negara itu meskipun mendapat bantahan ramai.
Peguam Thein Zaw berkata, jurugambar dan lima wartawan Myanmar itu dituduh di bawah undang-undang bagi mengekang ketakutan, berita palsu dan gangguan kepada kakitangan kerajaan secara langsung atau tidak langsung.
Junta tentera hanya meminda peruntukan itu bulan lalu dengan menambah hukuman penjara daripada dua tahun kepada tiga tahun.
Menurut AP, lima lagi wartawan adalah dari Myanmar Now, Myanmar Photo Agency, 7Day News, Zee Kwet Online dan seorang pekerja bebas.
Timbalan Presiden bagi berita antarabangsa AP, Ian Philips, menggesa Thein Zaw dibebaskan dengan segera.
“Wartawan bebas perlu dibenarkan untuk bebas bergerak dan secara selamat melaporkan berita tanpa ketakutan, AP mengecam penahanan Thein Zaw,” katanya.
Sejurus tragedi rampasan kuasa itu, pihak berkuasa menggunakan pelbagai taktik untuk mengekang penunjuk perasaan termasuklah melepaskan gas pemedih mata, meriam air, peluru getah dan peluru hidup.
Tunjuk perasaan Ahad lalu dilihat paling berdarah dalam rampasan kuasa itu apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa 18 penunjuk perasaan terbunuh.
Menurut sebuah badan pemantau, Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP), lebih 1,200 orang ditahan sejak tunjuk perasaan itu dengan kira-kira 900 masih dipenjara atau menanti dikenakan hukuman.
AAPP juga melaporkan bahawa antara yang ditahan itu termasuk 34 wartawan, termasuk 15 yang sudah dibebaskan setakat ini. – AFP