
KUCHING: Sambutan Hari Pahlawan setiap tahun menjadi simbol penghargaan dan penghormatan terhadap jasa para pejuang tanah air yang telah berkorban mempertahankan kedaulatan negara, bermula dari era sebelum kemerdekaan sehingga selepas negara mencapai kemerdekaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perjuangan para pahlawan telah menjadi titik tolak penting dalam lipatan sejarah negara dan wajar dikenang sepanjang zaman.
“Simboliknya, Hari Pahlawan boleh diertikan dengan hari memperingati pahlawan yang telah berkorban dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman.
“Pahlawan negara seharusnya menjadi sejarah yang sentiasa dikenang kerana telah mencipta ketamadunan negara kepada bumi bertuah ini.
“Perjuangan mereka sama ada di era sebelum merdeka mahupun pasca merdeka terus menjadi titik tolak bagi permulaan dalam kandungan sejarah negara,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis sambutan Hari Pahlawan 2025 di Tugu Pahlawan, Taman Budaya di sini, hari ini.

Abang Johari turut mengajak rakyat untuk bersyukur atas nikmat keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran yang dikecapi hasil pengorbanan para pejuang terdahulu.
“Sesungguhnya, segala kenikmatan yang kita kecapi ini adalah natijah pengorbanan jiwa dan raga rakan-rakan seperjuangan yang terdahulu.
“Tumpahan darah dan curahan keringat serta kepayahan dan keperitan mereka dalam perjuangan telah menghasilkan keharmonian dan kesentosaan hidup kepada kita, sebagai satu anugerah Ilahi yang tidak ternilai harganya,” jelas beliau.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa kenikmatan yang diwarisi hari ini bukan sesuatu yang diperoleh dalam sekelip mata, sebaliknya melalui perjuangan berterusan dan penuh pengorbanan.
“Kita mesti sedar bahawa segala kenikmatan yang kita warisi ini tidak sekali-kali diperolehi dengan mudah dalam jangka waktu yang singkat.
“Malah ia telah menyaksikan perjuangan berterusan yang mengorbankan jiwa dan raga para pahlawan tanah air untuk mempertahankan kedaulatan setiap inci bumi tercinta ini,” ujarnya.
Justeru, beliau menggesa agar rakyat terus mengenang jasa para pejuang dan sentiasa mendoakan mereka serta keluarga yang ditinggalkan.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik. – UKAS