
KAPIT: Sambutan Hari Pahlawan peringkat Bahagian Kapit berlangsung dengan penuh adat istiadat di Tugu Bujang Berani hari ini, disertai hampir 200 tetamu yang hadir bagi menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan wira negara.
Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat.
Majlis Sambutan Hari Pahlawan peringkat Bahagian Kapit telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa Hari Pahlawan bukan hanya ditujukan untuk mengenang jasa anggota tentera dan polis, malah turut menjadi platform untuk menghargai sumbangan penjawat awam, pasukan keselamatan sukarela serta orang awam yang bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara.
“Kita tidak boleh sesekali melupakan pengorbanan mereka malah harus menjadi ingatan sepanjang masa agar ia tidak dilupakan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Tugas Khas Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Leftenan Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw berkata, kewujudan Sarawak Rangers dan Iban Trackers merupakan lambang keberanian yang patut dibanggakan oleh seluruh rakyat Sarawak.
“Kita boleh mencontohi ketegasan dan disiplin mereka agar boleh menguatkan diri kita, khususnya generasi sedia ada dalam menghadapi cabaran yang akan datang,’’ ujarnya.
Stephen turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Sarawak dan Persatuan Veteran ATM (PVATM) Cawangan Kapit atas komitmen mereka dalam menjaga kebajikan veteran di kawasan tersebut.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku dan Perajurit Tanah Air, sebelum suasana menjadi hening ketika hadirin bertafakur sebaik sahaja tiupan ‘Last Post’ dimainkan, sebagai tanda penghormatan kepada para pahlawan yang terkorban demi negara.
Sebagai mengenang jasa pahlawan yang telah terkorban, upacara peletakan bunga di Tugu Bujang Berani dilakukan sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang telah kehilangan nyawa demi keamanan bangsa dan negara.
Turut hadir, Residen Bahagian Kapit Elvis Didit, Pengarah JHEV Sarawak Mejar Steven Kadir, Pengerusi PVATM Cawangan Kapit Kaunselor Martin Bilun, Ketua Polis Daerah Kapit DSP Rohana Nanu serta para ketua jabatan, pemimpin masyarakat dan waris veteran.- JAPEN