KUCHING: Sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Sarawak tahun ini diraikan dengan pelaksanaan dua aktiviti utama iaitu “Ozone For Life Virtual Run” dan Operasi Pemeriksaan Bersepadu Kenderaan Bermotor (Ops Gerak) baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak, Hamzah Mohamad berkata, aktiviti “Ozone For Life Virtual Run” dijalankan bertujuan mempromosikan gaya hidup lestari dalam aspek penjagaan alam sekitar kepada masyarakat melalui kegiatan sihat tanpa menyumbang kepada pelepasan bahan pemusnah lapisan ozon.
Manakala katanya, aktiviti Ops Gerak pula dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Melalui Ops Gerak, ujian asap hitam dari kenderaan telah dijalankan bagi memastikan pelepasan dari ekzos kenderaan dapat mematuhi had pelepasan yang ditetapkan di bawah Peraturan- Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Dari Enjin Diesel) 1996,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Sarawak secara atas talian melalui aplikasi Zoom di sini, semalam.
Selain program penguatkuasaan, Hamzah menjelaskan bahawa Ops Gerak juga merupakan sebahagian daripada program kesedaran kepada pemilik kenderaan supaya menjalankan penyelenggaraan secara berkala terhadap kenderaan masing-masing.
Ujarnya, pihaknya percaya melalui penyelenggaran yang sempurna, pelepasan asap hitam dapat mematuhi had pelepasan yang ditetapkan dalam peraturan.
“Kita sedia maklum bahawa asap kenderaan juga menyumbang kepada penghasilan ozon di permukaan bumi. Oleh itu, semua pihak digesa agar memainkan peranan masing-masing dalam usaha melindungi lapisan ozon dengan mengambil bahagian dalam aktiviti kesedaran.
“Tindakan tersebut seterusnya dapat membantu mengurangkan penggunaan bahan-bahan yang boleh mengancam lapisan ozon selain dapat menggunakan sumber dengan lestari serta mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat,” katanya.
Oleh SYAMIMI HUSNA