

SRI AMAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak 30 September lalu di Rumah Rengkang, Lepong Empeliau memasuki hari ketiga namun masih belum menemui sebarang petunjuk.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pencarian hari ini diperluaskan sehingga radius tiga kilometer meliputi kawasan hulu sungai, hilir sungai serta kawasan perkuburan lama.
Mangsa dikenali sebagai Tumbu Landa, 67 tahun, seorang Orang Kurang Upaya (OKU), dilaporkan hilang selepas tidak pulang dari kebunnya pada petang 30 September.
PGO berkata pencarian bermula 8.07 pagi dengan kekuatan 10 anggota bomba bersama Unit K9 JBPM serta disertai pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung.



“Pasukan SAR telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan, termasuk ke kawasan hulu dan hilir sungai serta lokasi perkuburan lama.
“Unit dron PDRM turut dikerah bagi membantu pencarian dari udara. Namun sehingga operasi ditangguhkan 5.00 petang tadi, mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi turut mendapat sokongan daripada 25 penduduk kampung, selain penglibatan unit K9 JBPM bersama seekor anjing pengesan Daisy serta unit K9 PDRM.
PGO memaklumkan operasi akan disambung semula pada esok pagi bermula 8.30 pagi.
Oleh Adi Safarman