
KOTA SAMARAHAN: Pencarian hari ketiga mangsa dipercayai dibaham buaya ketika menjala udang di Sungai Lubok Punggor, masih belum menemui sebarang petunjuk.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dan BBP Simunjan memulakan operasi seawal jam 8.10 pagi dengan kekuatan lima anggota.
Usaha pencarian hari ini memberi tumpuan kepada kaedah pencarian permukaan, meliputi kawasan sejauh dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
Wakil Khas Premier Sarawak di Gedong, Datuk Sri Mohd Naroden Majais, turut hadir meninjau gerakan SAR dan menerima taklimat daripada pihak penyelaras operasi.


Dalam lawatan tersebut, beliau juga menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk kampung serta pasukan penyelamat yang terlibat.
Operasi ini membabitkan lebih 30 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Hidupan Liar Sarawak, serta penduduk kampung.
Operasi hari ini ditangguhkan pada 5.00 petang dan akan disambung semula esok.
Mangsa, Ahmad Alzadkhri Sudin, 32, dilaporkan hilang pada Isnin lalu ketika menjala udang bersama ahli keluarganya sebelum dipercayai disambar buaya sekitar 4.00 petang.
Oleh Adele Rissa