SARATOK: Pendedahan awal tentang maklumat kerjaya dan pendidikan lanjutan amat penting diketahui oleh pelajar sebagai makluman awal dalam mereka membuat pilihan kerjaya dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, program seperti Hari Kerjaya dan Pendidikan adalah antara inspirasi yang akan menggalakkan para pelajar mencari dan menyebarkan maklumat kerjaya.
“Program-program seperti ini diharapkan akan memberi banyak peluang kepada pelajar untuk meneroka alam akademik pasca Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan mengaitkan proses pendidikan dengan dunia kerjaya yang bakal diceburi.
“Sebarang keputusan pelajar lepasan SPM dan STPM yang berkaitan dengan pilihan kerjaya dan pendidikan lanjutan di IPT akan menentukan masa depan setiap pelajar,” katanya semasa merasmikan Hari Kerjaya dan Pendidikan Daerah Saratok 2024 bertempat di Dewan SJKC Min Syn di sini, hari ini.
Mohamad Duri menjelaskan usaha oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dengan sokongan Yayasan Sarawak ini juga dapat menyahut cabaran Kementerian Pendidikan (KPM) yang menggesa dan melengkapkan guru bimbingan serta kaunseling untuk memberi taklimat dan intervensi mengenai trend kerjaya terkini.
“Saya difahamkan juga bahawa program ini dilaksanakan pada setiap tahun bagi memberi pendedahan kepada pelajar di Daerah Saratok amnya, serta mengetahui haluan dan hala tuju yang mereka perlu tahu selepas tamat persekolahan.
“Ini adalah salah satu platform yang bernas bagi menyalurkan maklumat kepada anak-anak di daerah Saratok dan perlu diteruskan untuk masa-masa yang akan datang,” tambah Mohamad Duri.
Sementara itu, seramai 260 pelajar, 14 agensi serta IPT telah mengadakan reruai terbuka bagi pelajar serta pengunjung bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan kerjaya pendidikan masa kini.
Oleh Adi Safarman