
LIMBANG: Lebih 10,000 pengunjung dari Sarawak, Sabah, Brunei dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka memeriahkan sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke-17 Peringkat Sarawak 2025 yang akan diadakan di Limbang bermula 11 hingga 15 Jun ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn bertanggungjawab untuk sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17 Peringkat Sarawak 2025 untuk sambutan kali ini.
Beliau berkata sambutan diadakan di lokasi berbeza setiap tahun bagi memanjangkan kepada setiap lapisan masyarakat di Sarawak termasuk Bahagian Limbang tentang kepentingan dan pemahaman tentang institusi Raja.
“Kita memberi peluang kepada semua bahagian di Sarawak termasuk di Bahagian Limbang untuk mengadakan sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.
“Kali ini Limbang dipilih untuk sambutan pada tahun ini bagi memberi peluang kepada rakyat memahami kepentingan dan pemahaman tentang institusi Raja.
“Dalam konteks perpaduan Yang di-Pertuan Agong mencerminkan sumber kekuatan kepada kepelbagaian kaum yang ada di negara ini dan pengimbang kepada keadilan dan kesejahteraan di antara warga Malaysia bagi mencapai kemakmuran bersama,” katanya pada sidang media sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17 Peringkat Sarawak 2025 di sebuah hotel terkemuka di Limbang hari ini.
Katanya, pelbagai program menarik akan diadakan bermula pada 11 hingga 15 Jun ini.
Jelasnya lagi, antara program yang diadakan termasuk Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain di Dewan Suarah pada 11 Jun, Pameran Raja Kita bermula 12 hingga 15 Jun di Dewan Suarah Limbang, Khutbah Khas di seluruh masjid di Sarawak (13 Jun), Majlis Kesyukuran di Masjid Jannatul Firdaus Limbang pada 13 Jun bermula 6.00 petang dan Majlis Jamuan Teh di Dewan Suarah pada 14 Jun ini.
Turut diadakan aktiviti sampingan seperti Limbang Kitchen, Limbang Idol dan lain-lain.
Oleh Adeng Edrus