SARATOK: Hari Keluarga Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu 2026 bukan sekadar acara santai bersama keluarga, malah menjadi medan mempererat silaturahim dan memperkukuh semangat kekeluargaan dalam kalangan anggota serta barisan exco kesatuan itu.
Pengerusi SDNU Sibu, Chambai Lindong, berkata kejayaan program berkenaan memperlihatkan komitmen padu, kerjasama erat dan sokongan berterusan semua pihak yang terlibat sejak peringkat perancangan sehingga pelaksanaannya.
Menurutnya, penganjuran Hari Keluarga memberi peluang kepada anggota dan ahli keluarga untuk berkumpul, berinteraksi serta meluangkan masa berkualiti dalam suasana lebih santai dan mesra.
“Kerjasama dan semangat kekeluargaan seperti ini amat penting bagi memastikan hubungan dalam kalangan ahli kesatuan terus kukuh dan harmoni dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh barisan Exco SDNU Sibu atas dedikasi, pengorbanan masa dan tenaga bagi memastikan setiap persiapan serta aktiviti sepanjang program dapat dilaksanakan dengan lancar.
Chambai berkata penglibatan aktif peserta turut menyumbang kepada kemeriahan program apabila masing-masing menunjukkan semangat kebersamaan dan saling bekerjasama sepanjang aktiviti berlangsung.
Pelbagai aktiviti santai dan kemasyarakatan disusun sepanjang Hari Keluarga SDNU Sibu 2026, termasuk aktiviti yang berkonsepkan sukaneka dan rekreasi bagi menggalakkan interaksi lebih mesra dalam kalangan anggota serta keluarga.
Dalam pada itu, Chambai turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kaunselor Stephen atas kebenaran dan kemudahan menggunakan tapak Kolam Ikan SGB Brangan Saratok sebagai lokasi utama penganjuran.
Katanya, pemilihan lokasi berkenaan amat bersesuaian dengan konsep program kerana menyediakan ruang yang kondusif untuk aktiviti rekreasi dan kekeluargaan.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan secara konsisten pada masa akan datang sebagai platform memperkukuh perpaduan, kerjasama dan kebersamaan dalam kalangan seluruh warga SDNU Sibu.
“Hubungan yang kukuh antara anggota bukan sahaja penting dalam memastikan keharmonian organisasi, malah menjadi asas kepada kekuatan SDNU Sibu dalam melaksanakan pelbagai agenda pada masa akan datang,” katanya. Oleh Adi Safarman





