
program Hari Keluarga yang diadakan di JT Farm, Sungai Rait.
MARUDI: Penganjuran Hari Keluarga bukan sahaja menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli-ahli persatuan, malah turut memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, berkata demikian semasa berucap pada Majlis Hari Keluarga Persatuan Masyarakat Saban yang diadakan di JT Farm, Sungai Rait, melibatkan penyertaan masyarakat Saban dari Long Banga, Long Balong dan Long Peluan, Baram.
Menurut Gerawat, masyarakat Saban terkenal dengan nilai kekeluargaan yang tinggi, semangat tolong-menolong serta keutuhan budaya dan tradisi yang wajar terus dipelihara.
“Nilai-nilai inilah yang perlu kita wariskan kepada generasi muda agar identiti masyarakat Saban kekal subur dalam arus pembangunan yang semakin pesat,” katanya.
Beliau menambah, program seperti Hari Keluarga amat penting dalam memperkukuh jaringan sosial, memupuk semangat kerjasama serta membina semangat setiakawan dalam kalangan komuniti.
“Saya percaya melalui aktiviti sukaneka, permainan tradisional dan pelbagai acara yang dirancang, semua ahli keluarga dapat berinteraksi secara sihat,” ujarnya.
Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu menegaskan, semangat kekeluargaan dan perpaduan yang dipupuk dalam komuniti menjadi asas kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan progresif.
“Apabila keluarga dan komuniti kita kuat, maka negeri dan negara juga akan menjadi makmur,” katanya.
Beliau turut menggalakkan Persatuan Masyarakat Saban agar terus memainkan peranan aktif dalam memperjuangkan pembangunan komuniti, pendidikan anak muda serta pemeliharaan adat, budaya dan bahasa.
Gerawat berharap semangat kekeluargaan yang terjalin melalui program tersebut akan terus mekar dan menjadi inspirasi untuk semua pihak bekerjasama membina masa depan yang lebih baik bagi masyarakat Saban.
Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan peruntukan Projek Mesra Rakyat (MRP) sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Masyarakat Saban bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan persatuan berkenaan.
Oleh Jiku Juguong