Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Hari Jururawat Sedunia 2025: Seruan perkukuh sokongan, kebajikan jururawat
  • SEMASA

Hari Jururawat Sedunia 2025: Seruan perkukuh sokongan, kebajikan jururawat

Utusan Sarawak 1 day ago
POSTER Hari Jururawat Sedunia 2025. Foto UKAS

KUCHING: Setiap 12 Mei, dunia memperingati Hari Jururawat Sedunia sebagai penghormatan kepada insan-insan luar biasa yang menjadi tulang belakang sistem penjagaan kesihatan.

Pada tahun 2025, sambutan ini membawa tema Our Nurses, Our Future, Caring for nurses strengthens economies yang menyerlahkan bukan sahaja sumbangan jururawat dalam aspek klinikal, malah peranan penting mereka dalam memperkukuh ekonomi dan kesejahteraan sosial masyarakat. 

Di sebalik uniform putih dan senyuman sabar mereka, tersirat dedikasi, keberanian dan ketabahan yang tiada tolok bandingnya.

Menghayati makna sambutan Hari Jururawat Sedunia yang diraikan hari ini, enam jururawat dari Pusat Perubatan Pakar Normah berkongsi kisah perjalanan mereka.

Mereka menceritakan cabaran yang dilalui, pengalaman yang membentuk kecekalan diri serta harapan terhadap masa depan profesion yang diiktiraf sebagai nadi utama sistem penjagaan kesihatan negara.

Terena Tina Aggup

Bagi Terena Tina Aggup, semangat untuk berbakti dalam bidang perubatan serta hasrat murni untuk menjaga insan yang memerlukan menjadi dorongan utama beliau memilih laluan kerjaya sebagai jururawat.

“Antara cabaran terbesar ialah kekurangan masa untuk diri sendiri dan keluarga, namun paling bermakna apabila saya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta penghargaan daripada pesakit,” katanya.

Beliau turut berharap agar aspek latihan klinikal diperbaiki supaya lebih berkesan dan praktikal, selain menzahirkan penghargaan kepada jururawat senior yang menjadi inspirasi sepanjang kerjayanya.

Shahrein Suhaimi

Shahrein Suhaimi pula mengakui kejururawatan bukanlah pilihan pertamanya, namun kini menjadi kerjaya yang dicintai.

“Cabaran terbesar ialah beban kerja akibat kekurangan tenaga kerja, terutama selepas ramai jururawat berhijrah ke luar negara. Namun, saat paling bermakna apabila dapat kembali berkhidmat di negeri sendiri selepas tujuh tahun di Semenanjung,” katanya.

Menurutnya, jururawat berhak mendapat gaji, elaun dan kebajikan yang lebih baik, di samping menyifatkan bekas pengajarnya, Didi Sherman Lo, sebagai inspirasi dalam membentuk semangat dan keyakinannya.

Aniq Aqmar Safian

Sementara itu, Aniq Aqmar Safian memulakan langkah dalam bidang ini sejak zaman persekolahan apabila aktif dalam program sukarelawan hospital.

“Pengalaman paling mencabar semasa pandemik COVID-19. Tekanan emosi sangat tinggi namun ia mengajar saya erti ketahanan dan kerjasama,” katanya.

Bagi Aniq, detik paling menyentuh hati ialah ketika menjaga pesakit terminal yang kesunyian.

“Ia buat saya sedar bahawa tugas jururawat bukan sekadar merawat, tapi tentang kemanusiaan,” ujarnya.

Dorothy Magdelena Naga

Dorothy Magdelena Naga, yang pernah berkhidmat di luar negara, menyifatkan kejururawatan sebagai gabungan belas kasihan dan kemahiran klinikal yang memberi makna mendalam dalam hidupnya.

“Cabaran terbesar adalah menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja baharu dan berjauhan dari keluarga. Namun, saat paling bermakna ialah apabila saya membantu menyelamatkan nyawa pesakit bersama pasukan,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada penambahbaikan nisbah kakitangan dan beban kerja agar jururawat dapat menjalankan tugas tanpa tekanan melampau, serta menganggap penyelianya sebagai contoh kepimpinan yang berinspirasi.

Frenkelin Tinggi

Bagi Frenkelin Tinggi, kejururawatan merupakan impian sejak kecil dan dianggap sebagai satu panggilan jiwa.

“Detik paling bermakna apabila saya duduk menemani pesakit yang ketakutan dan keseorangan. Hanya dengan mendengar, saya dapat beri kekuatan kepada dia. Itu momen yang paling saya hargai,” katanya.

Menurut Frenkelin, sistem kesihatan perlu lebih prihatin terhadap kebajikan jururawat dengan menyediakan sokongan kesihatan mental, nisbah staf yang lebih seimbang dan waktu rehat mencukupi.

Elindra Menin Sakop

Elindra Menin Sakop, menyatakan hasratnya untuk membantu pesakit pulih dan menyokong keluarga mereka dalam saat sukar sebagai sebab utama beliau menyertai bidang ini.

“Paling menyentuh hati apabila keluarga pesakit ucap terima kasih kerana saya telah membuat pesakit berasa dihargai dalam detik terakhir hidup mereka,” katanya.

Beliau turut berharap agar sambutan Hari Jururawat Sedunia menjadi landasan untuk memperkukuh pengiktirafan terhadap peranan jururawat di seluruh dunia.

Pada masa yang sama, Elindra menekankan kepentingan sokongan berterusan melalui penambahan tenaga kerja, akses kepada sumber kesihatan mental serta penyediaan peluang latihan dan pembangunan profesional yang berterusan.

Dedikasi dan kisah-kisah jururawat ini bukan sekadar mencerminkan cabaran serta kecekalan mereka, malah menjadi cerminan kepada nilai kemanusiaan yang menghidupkan nadi sistem kesihatan negara. 

Dalam apa jua situasi, baik di wad mahupun ketika krisis, mereka tetap berdiri teguh memberikan rawatan, ketenangan dan harapan kepada setiap insan yang memerlukan. Justeru, sambutan Hari Jururawat Sedunia ini harus menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh pengiktirafan terhadap peranan jururawat melalui sokongan menyeluruh terhadap kebajikan, latihan dan pembangunan kerjaya mereka agar terus relevan dan dihargai dalam landskap kesihatan masa kini dan akan datang.

Oleh Amanda L

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: 11,396 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Tanah Suci setakat ini
Next: Ibu bapa disaran main peranan jayakan PLKN 3.0

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.