Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Hari Hutan Antarabangsa 2025, Sarawak perkukuh kerjasama lindungi alam
  • SEMASA

Hari Hutan Antarabangsa 2025, Sarawak perkukuh kerjasama lindungi alam

Utusan Sarawak 1 day ago
PAMERAN Projek Tukun Reef Ball Sarawak di Galeri Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Hutan Sarawak bersempena Hari Hutan Antarabangsa, hari ini. Foto: Adele Rissa

KUCHING: Komitmen berterusan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam menerajui agenda kelestarian, pemuliharaan hutan dan pembangunan mampan terus menjadi sumber inspirasi kepada semua pihak yang terlibat dalam pemuliharaan alam sekitar negeri ini. 

Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad berkata pendekatan holistik yang dilaksanakan kerajaan negeri menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) telah berjaya memperlihatkan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan pemuliharaan alam semula jadi.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Sarawak 2025, yang diadakan di Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Hutan Sarawak hari ini.

“Pembangunan negeri tidak pernah mengenepikan alam sekitar, sebaliknya menjadi peluang untuk membuktikan bahawa kedua-duanya boleh bergerak seiring. Komitmen Premier Sarawak adalah panduan kepada kami semua,” katanya.

Beliau secara khusus mengucapkan terima kasih kepada komuniti Anap Muput yang telah menyumbangkan sejumlah besar biji benih pokok belian kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk disemai di tapak semaian sama ada di Sabal atau Bintawa.

PAMERAN produk Ulu Menyang, Garam Bukit dari Ba’kelalan di galeri Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Hutan Sarawak bersempena Hari Hutan Antarabangsa, hari ini. Foto: Adele Rissa

Mengulas lanjut mengenai penganjuran majlis tersebut, beliau menegaskan bahawa sambutan Hari Hutan Antarabangsa bukan sekadar acara simbolik, malah menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan hutan kepada kehidupan manusia dan alam sekitar secara menyeluruh.

Majlis itu juga merupakan pengiktirafan kepada peranan komuniti dalam menjaga sumber hutan, serta galakan kepada pelbagai pihak untuk terus terlibat dalam usaha pemuliharaan yang berterusan. 

Hari Hutan Antarabangsa telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 2012 dan disambut setiap 21 Mac.

Bertemakan ‘Hutan dan Makanan’, beliau berkata tema tahun ini amat bersesuaian dengan Sarawak yang kaya dengan biodiversiti serta budaya komuniti yang bergantung kepada hutan sebagai sumber makanan, perubatan dan spiritual.

PAMERAN produk madu kelulut yang dihasilkan oleh Madu Kelulut Sulu, yang diproses terus daripada habitatnya. Foto: Adele Rissa

“Madu kelulut liar dari Ulu Baram dan Kapit bukan hanya menyumbang kepada industri kesihatan, malah menjadi sumber pendapatan. 

“Herba seperti tongkat ali, akar kayu dan kulat hutan sudah lama dikenali sebagai makanan berkhasiat tinggi,” jelasnya.

Beliau turut menekankan kepakaran komuniti Penan dalam bidang etnobotani, yang kini sedang dikaji oleh penyelidik tempatan dan antarabangsa, menunjukkan betapa pentingnya ilmu komuniti dalam usaha memulihara dan memanfaatkan hutan secara lestari.

Dengan lebih 62 peratus keluasan Sarawak masih diliputi hutan, kawasan ini menjadi pelindung daripada bencana alam dan perubahan iklim. 

Kawasan ini juga malah berfungsi sebagai kawasan tadahan air utama, habitat kepada lebih 8,000 spesies tumbuhan dan 200 spesies mamalia, serta sumber pendapatan melalui hasil hutan bukan kayu, pelancongan alam dan pasaran karbon.

“Hutan bagi komuniti tempatan bukan sekadar sumber ekonomi, tetapi adalah warisan, identiti dan sumber spiritual yang tiada galang ganti,” ujarnya. 

Oleh Adele Rissa

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: 99 kerusi DUN Sarawak langkah tepat, seiring geografi negeri – Fadillah
Next: 200,000 pengunjung Brunei masuki Sarawak setiap bulan, dorong pertumbuhan ekonomi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.