Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Hari guru: Menteri Kabinet sanjung peranan pendidik bentuk generasi berdaya saing
  • NASIONAL

Hari guru: Menteri Kabinet sanjung peranan pendidik bentuk generasi berdaya saing

Utusan Sarawak 4 hours ago

KUALA LUMPUR: Barisan Menteri Kabinet hari ini menzahirkan ucapan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik, sambil menyifatkan golongan itu sebagai tunjang utama dalam membentuk generasi berilmu, berakhlak, berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan zaman.

Menerusi hantaran di laman Facebook bersempena dengan sambutan Hari Guru 2026 bertemakan “Guru Bitara, Nadi Negara”, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata peranan guru kini bukan sahaja terhad kepada bilik darjah, malah turut berkembang seiring dunia digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Dari sebatang kapur di papan hitam suatu ketika dahulu, kini para guru terus melangkah seiring perkembangan dunia digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI), demi memastikan anak-anak bangsa tidak tertinggal dalam arus perubahan zaman.

“Guru Bitara Nadi Negara bukan sekadar tema, tetapi satu penghormatan buat insan yang menjadi cahaya ilmu dan harapan masa depan negara,” katanya.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup pula berkata tema sambutan tahun ini mencerminkan besarnya peranan guru sebagai penggerak utama dalam membentuk sahsiah dan kemajuan negara.

Beliau berkata guru bukan sekadar penyampai ilmu, malah arkitek sosial yang membina masa depan Malaysia yang lebih lestari dan berdaya saing.

“Melalui didikan mereka, generasi muda kini lebih cakna terhadap kepentingan memelihara alam sekitar dan menghargai khazanah sumber asli negara. Kesedaran hijau yang diterapkan di bilik darjah hari ini adalah jaminan kepada kelestarian alam untuk generasi akan datang,” katanya.

Arthur turut menzahirkan penghargaan kepada guru yang bertugas di kawasan pedalaman termasuk di pelosok Sabah dan Sarawak, yang disifatkannya melakukan pengorbanan besar bagi memastikan anak-anak bangsa tidak keciciran.

“Pengorbanan anda merentas denai, menyeberang sungai, dan menetap jauh daripada kemudahan kota demi memastikan anak bangsa tidak keciciran adalah satu jihad pendidikan yang amat mulia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata jasa dan pengorbanan guru menjadi asas kepada lahirnya generasi berilmu, berdaya saing dan berintegriti.

“Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu, membentuk karakter dan membuka jalan masa hadapan buat anak-anak bangsa,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kemajuan Malaysia yang dikecapi hari ini lahir daripada pengorbanan guru yang mendidik dengan sabar, ikhlas dan kasih sayang, sekali gus melahirkan cerdik pandai, profesional, penyelidik, usahawan serta tenaga mahir dalam pelbagai bidang.

“Daripada bilik darjah lahir generasi berilmu, berakhlak, cintakan perpaduan serta mempunyai semangat  untuk berbakti kepada rakyat dan negara,” katanya.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata dalam era digital hari ini, peranan guru semakin penting bukan  sahaja dalam menyampaikan ilmu, tetapi membimbing generasi muda menggunakan teknologi dengan bijak, beretika dan bertanggungjawab.

“Saya amat menghargai jasa para guru yang terus menyesuaikan diri dengan perubahan zaman, mendidik dengan penuh kesabaran dan membentuk generasi masa depan yang celik digital, kreatif dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi turut membentuk akhlak, menyemai harapan dan mencorakkan masa depan anak bangsa.

Turut menzahirkan penghargaan kepada warga pendidik ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan.

Ucapan penghargaan turut dizahirkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kerja  Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

– Bernama

Continue Reading

Previous: i-Legasi KWSP bantu ringankan beban generasi sandwic 
Next: Hari Muzium Antarabangsa: 19 muzium dibuka percuma kepada rakyat Malaysia pada 18 Mei ini ⁠- Aaron

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.