KUCHING: Menteri Pelancongan,Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Nancy
Shukri, tampil memberi maklum balas berkenaan posting ‘Tourism Malaysia’yang tidak memasukkan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan dalam perancangan cuti di negara ini sempena perayaan rasmi pada sidang media diadakan di Kuching baru-baru ini.
Nancy Shukri berkata,beliau dimaklumkan bahawa cuti yang dimasukkan ke dalam jadual tersebut hanyalah merujuk kepada cuti-cuti Kerajaan Persekutuan sahaja.
“Saya tidak mahu tergesa-gesa dan saya mencari sumber maklumat yang telah diterbitkan dalam kalendar,jadi saya bertanya kenapa ia sebegitu.
“Saya dimaklumkan bahawa jika dilihat dari segi cuti yang dimasukkan adalah cuti untuk persekutuan dan untuk Kaamatan serta Gawai, seharusnya dimasukkan di bawah cuti negeri.
“Cuti persekutuan adalah untuk cuti yang panjang dan banyak negeri yang akan memanfaatkan cuti-cuti di bawah persekutuan,” jelasnya.
Namun, menurut beliau,pandangan serta kritikan tersebut telah memberikan kesedaran bahawa apa sahaja yang dilakukan di peringkat Persekutuan, haruslah bersifat inklusif dengan mengambil kira seluruh rakyat negeri dalam Malaysia.
“Saya berterima kasih kepada netizen kerana memberi maklum balas sebegini.
“Ia menunjukkan orang Sarawak dan Sabah juga,mempunyai pemikiran yang begitu luas sekali yang mana mahukan orang dari luar kawasan Borneo datang ke tempat kita untuk menyaksikan sendiri bagaimana budaya masyarakat kita,”jelas beliau.
Nancy berkata, beliau beranggapan positif terhadap andaian netizen mengenai cuti tersebut dan perkara tersebut sekali gus membuka ruang untuk orang luar mengetahui mengenai perbezaan cuti negeri dan cuti persekutuan bagi meluaskan pengetahuan mereka terutama bagi masyarakat kawasan luar Borneo.
Oleh itu, beliau menyarankan kepada pihak Pelancongan Malaysia untuk mengambil kira hal sedemikian sebagai satu perspektif positif dalam usaha menambah lagi kepelbagaian dalam negara melalui cuti-cuti tersebut.
“Saya bersetuju, sebab itu saya sarankan kepada pihak Pelancongan Malaysia dan juga ‘Ministry of Tourism,Arts and Culture Malaysia’ (MOTAC), kita masukkanlah ia sebagai senarai cuti-cuti dalam Malaysia juga walaupun cuti umum itu adalah untuk Sarawak dan Sabah, tetapi orang lain pun boleh menikmatinya.”Turut hadir, Pengarah Kementerian Pelancongan,Seni dan Budaya (MOTAC) Sarawak, Suriya Charles Boas.
Oleh AMINAH WASLI