Hari Apresiasi, Pameran Digital galakkan generasi celik digital dan kreatif

Facebook
WhatsApp
UNTUK KENANGAN… Nyabong merakam kenangan selepas merasmikan Hari Apresiasi dan Pameran Digital SK Nanga Bawai.

KAPIT: Penganjuran Hari Apresiasi dan Pameran Digital Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bawai disifatkan bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan generasi celik digital, berfikiran kritis, kreatif dan inovatif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang berkata, program itu bukan sahaja meraikan pencapaian murid, malah menjadi platform untuk mereka menonjolkan bakat, kreativiti serta kemahiran dalam dunia digital.

“Kita kini berada dalam era Revolusi Industri 4.0, yang mana penguasaan teknologi digital bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan.

APA KHABAR… Nyabong bersalaman sambil bertanya khabar tetamu yang hadir pada Penganjuran Hari Apresiasi dan Pameran Digital SK Nanga Bawai.

“Justeru, usaha SK Nanga Bawai menganjurkan pameran digital ini amat bertepatan dengan aspirasi kerajaan,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan, semalam.

Menurut beliau, kejayaan yang dikecapi murid adalah hasil usaha gigih, disiplin serta sokongan padu guru dan ibu bapa.

“Ingatlah bahawa setiap pencapaian hari ini adalah batu loncatan kepada kejayaan lebih besar pada masa depan. Pendidikan anak-anak bukan hanya tanggungjawab sekolah dan guru semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama erat antara guru dan ibu bapa,” ujarnya.

Wilson turut berharap agar murid SK Nanga Bawai terus bersemangat menimba ilmu, menguasai teknologi digital serta berusaha mencapai kecemerlangan.

“Semoga sekolah ini terus melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Oleh Akun Giman