

BARIO: Upacara memperingati 80 Tahun Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut 1945 diadakan dengan penuh penghormatan di Taman Memorial Bario hari ini, mengukuhkan kedudukannya sebagai acara berstatus antarabangsa.
Acara ini dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia dan New Zealand serta Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British, selain kehadiran veteran perang, penyelidik sejarah dan pelancong dari dalam serta luar negara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan sambutan ini sebagai bukti penghargaan terhadap keberanian Z Special Unit serta wira tempatan yang memainkan peranan penting dalam membebaskan Sarawak daripada penjajahan Jepun.
Sebagai sebahagian daripada peringatan ini, acara paling dinantikan adalah penampilan semula (re-enactment) pendaratan payung terjun Z Special Unit yang akan diadakan buat pertama kali di Padang Merdeka, Kuching pada 27 Mac. Persembahan ini disokong oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia dan Tentera Udara Diraja Malaysia yang turut menyediakan bantuan logistik.
Menurut beliau, peringatan sebegini bukan sahaja menghidupkan kembali sejarah, tetapi turut berpotensi merancakkan sektor pelancongan warisan perang di Sarawak.
“Memorial perang seperti ini telah menjadi tarikan pelancongan penting di Malaysia. Bario Memorial Park kini bukan sahaja lokasi bersejarah tetapi juga pusat perhimpunan antarabangsa bagi mengenang perjuangan dan pengorbanan pahlawan,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan kesinambungan acara ini dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak.
“Dengan komitmen kerajaan negeri dan kerjasama dari rakan antarabangsa, acara ini akan terus berkembang dan menjadi platform untuk generasi muda memahami nilai perjuangan serta kepentingan mempertahankan kedaulatan negara,” tambahnya.
Acara tahunan ini dijangka terus berkembang dengan sokongan kerajaan negeri, masyarakat antarabangsa serta komuniti tempatan, dalam memastikan legasi perjuangan Operasi Semut tidak dilupakan generasi akan datang.
OLEH AMANDA L.