Fabian Wong Boon Soon lahir pada tahun 1944 di bandar pesisir Matu dan merupakan anak keempat daripada tujuh beradik. Membesar sebagai anak kepada seorang penjawat awam, Wong menghadiri sekolah rendah di Kanowit, Bintangor dan Limbang, manakala sekolah menengah pula di Sacred Heart School, Sibu.
Kerjaya beliau bermula sebagai Renjer dan kemudian bersara sebagai Leftenen Kolonel. Wong berkahwin dengan Anna Lau dan dikurniakan tiga anak dan kini bergelar datuk kepada cucu-cucunya.
Beliau berkongsi pengalaman 32 tahun di dalam tentera bersama Stail serta bagaimana kehidupan sebagai penegak keamanan dalam tahun 1960-an.
Stail: Boleh anda bercerita tentang kehidupan anda di dalam tentera?
Wong: Saya bermula sebagai Pegawai Renjer dan kemudian sebagai Pegawai Risikan di dalam perkhidmatan bersama Angkatan Tentera Malaysia.
Saya terlibat secara aktif sepanjang Konfrontasi, terlibat di dalam Operasi Menentang Pemberontakan terhadap Parti Komunis Malaya (PKM), terlibat di dalam Public Orders Operations semasa peristiwa 13 Mei di George Town Pulau Pinang, terlibat di dalam Operasi Menentang Pemberontakan terhadap Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) di Sarawak atau lebih tepat lagi di dalam 3 Divisyen Sarawak. Saya telah berkhidmat di dalam beberapa tugasan dan jawatan, misalnya sebagai Komander Platun, Komander Kompeni, Pegawai Risikan Tentera, Komandan Sekolah Pertahanan Risikan, Kakitangan Pengarah Kolej Malaysian Armed Staff College, Pegawai Risikan Umum dan Pegawai Kanan Misi Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Stail: Apakah pengalaman peribadi dan memori anda di dalam tentera?
Wong: Saya masih ingat semasa saya di dalam 1 Renjer (Batalian Pertama Renjer Malaysia) dan sekarang ini dikenali sebagai Batalion Pertama Renjer Diraja Malaysia, batalion ini amat dikenali dan dihormati disebabkan oleh keupayaannya beroperasi serta kejayaannya.
Semasa Konfrontasi, 1 Renjer melakukan apa yang tidak dilakukan oleh unit infantri yang lain. Ia melaksanakan operasi berterusan selama 13 bulan, tujuh bulan di kawasan sempadan Bahagian Kedua (Simanggang) dan enam bulan di kawasan sempadan Bahagian Pertama (Semarang-Lundu). Kejayaannya memang tidak boleh dibandingkan dengan apapun, termasuk unit-unit British dan Australia.
Di dalam menangani pemberontakan, 1 Renjer yang mempunyai askar-askar yang berani dan mempunyai kemahiran di dalam hutan, menimbulkan ketakutan dalam kalangan musuh. Ia meraih kejayaan besar tetapi kehilangan beberapa anggota juga. Malah pegawainya memenangi banyak pingat keberanian hasil menangani dua pemberontakan, dan kejayaan ini memang diingati dan dibanggakan.
1 Renjer bukan sahaja cemerlang semasa Konfrontasi dan Operasi Menentang Pemberontakan tetapi juga semasa peristiwa 13 Mei di Pulau Pinang dan Province Wellesley (Seberang Perai), menukar kawasan panas itu menjadi “Tiada Seorangpun Mati” sehingga menimbulkan rasa kagum dalam kalangan semua orang, seterusnya menggembirakan rakyat Pulau Pinang.Begitu sekali kejayaan 1 Renjer di dalam membantu pihak polis untuk menjaga keamanan, menegakkan undang-undang dan peraturan.
1 Renjer berdisiplin tinggi, tegas, adil dan bertanggungjawab melaksanakan operasi bagi menghentikan individu atau kumpulan daripada menimbulkan kekacauan atau kekecohan. Kemudian, Ketua Menteri Pulau Pinang, semasa ucapan pada majlis Makan Malam Gawai dan Joget yangdbeliau taja, memuji 1 Renjer setinggi langit. Pada bahagian akhir ucapan, beliau berkata “Saya amat berharap Renjer-Renjer Sarawak adalah Renjer Pulau Pinang. Hidup 1 Renjer”.
Stail: Bagaimana dengan pengalaman peribadi bertembung dengan musuh atau insiden yang pernah anda alami?
Wong : Ada beberapa insiden yang saya alami yang hampir meragut nyawa saya. Sebahagiannya amat sensitif dan saya tidak mahu berkongsi dengan sesiapa. Semasa insiden pembunuhan Inspektor Herman Wong pada Disember 1970, saya keluar dari rumah dan bertarung dengan pembunuh tersebut. Mereka datang dengan tiga buah motosikal dengan empat orang berjaga di jalan utama dan dua lagi mencari sasaran atau mensasarkan lorong kami. Inspektor Herman ditembak pada jarak 20 kaki dari rumahnya ketika dia keluar untuk memeriksa dua orang yang mencurigakan melintasi rumahnya dengan motosikal.
Pembunuh tersebut berpatah balik, berhenti dan mula menembak kea rah Herman. Dua tembakan mengenai Herman dan dia tersungkur ke tanah. Saya terdengar tembakan ini dan meluru keluar dari rumah untuk melawan mereka. Melihat saya keluar, mereka menembak ke arah saya pula. Saya menembak balik dan berjaya membunuh seorang daripadanya mereka, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri melalui lorong yang lain.
Saya mengejar hingga ke jalan utama tetapi gagal menemuinya. Pada ketika itu keadaan sudah agak gelap. Saya pergi ke sebuah rumah dan meminta bantuan. Pada ketika itu, isteri Herman telah membuat panggilan untuk meminta bantuan. Saya kembali kepada Herman dan memintanya untuk bertahan serta membantunya mengucapkan doa. Dalam beberapa minit, kenderaan polis pun tiba. Herman dikejarkan ke Hospital Umum Sibu. Dia meninggal sebaik tiba di hospital atau beberapa minit selepas itu. Tindakan susulan kemudian membawa kepada penangkapan dua orang pada malam yang sama dan seorang lagi ditangkap pada keesokan paginya.
Pembunuh keenam dan yang terakhir, terbunuh setahun kemudian berhampiran sebuah perkuburan di lapangan terbang lama Sibu, di mana Herman dikebumikan.
Khabar angin bertiup kencang. Ada yang mengatakan bahawa kubur Inspektor Herman diceroboh dan jasadnya dipotong-potong. Kami tahu itu adalah khabar angin yang disebarkan bagi menakut-nakutkan orang ramai dan pihak polis, terutama Cawangan Khas dan kakitangan awam kerajaan.
Isteri Herman menelefon saya dan mahu tahu kisah sebenar. Sejak khabar angin itu bertiup, saya secara diam-diam membawa isteri Herman untuk melihat kubur itu sendiri bagi meyakinkannya bahawa kubur itu selamat dan tidak pernah diceroboh. Hanya selepas itu baharulah dia yakin dan lega. Saya ingin menegaskan bahawa kubur mendiang Inspektor Herman Wong tidak pernah digali dan dipotong-potong. Semoga rohnya aman.
Oleh CONNIE CHIENG