

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan dan penguatkuasaan yang bertugas semasa Aidilfitri melalui Program Sumbangsih Raya 2025, yang kini memasuki tahun ke-35.
Sebanyak 12,000 kotak sumbangan diagihkan kepada 11 agensi penerima termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah menjelaskan, program tahunan ini merupakan simbol penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan anggota keselamatan yang berkhidmat demi kesejahteraan rakyat.
“Dari hanya 2,000 kotak untuk dua agensi penerima pada peringkat awal penganjuran, jumlah ini kini meningkat kepada 12,000 kotak melibatkan 11 agensi.
“Peningkatan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam menghargai jasa anggota keselamatan yang tidak dapat menyambut lebaran bersama keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2025 di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Dalam usaha menambah baik kandungan kotak Sumbangsih Raya, kerajaan Sarawak memperkenalkan Mee Kolok Segera sebagai produk tambahan tahun ini. Dengan penambahan ini, setiap kotak kini mengandungi enam jenis barangan, termasuk serunding daging, kek buah, kacang botak serta minuman kopi dan teh 3 dalam 1.
Inisiatif ini diambil atas saranan Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang bagi memastikan sumbangan lebih bermanfaat kepada penerima.
Program Sumbangsih Raya telah menjadi tradisi tahunan sejak penubuhan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak sebagai Biro Wanita.
Beliau menegaskan bahawa selain menyampaikan sumbangan, program ini turut memainkan peranan dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan dan pasukan keselamatan.
“Usaha ini adalah tanda penghargaan tulus kerajaan Sarawak terhadap petugas keselamatan yang berkhidmat tanpa mengira waktu.
“Kami mahu mereka tahu bahawa mereka sentiasa diingati, walaupun tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga,” tambahnya.
Beliau berharap program ini akan terus mendapat sokongan dan diperluaskan pada masa hadapan agar lebih ramai anggota keselamatan dapat merasai manfaatnya.
OLEH AMANDA L.