Oleh: Alice Mohd
MERAH padam wajah Tihah menahan rasa malu. Orang sekeliling berbisik sesama sendiri. Kedai makan yang agak riuh tadi, sepi seketika. Di dalam kesunyian itu, Sabrina tiba-tiba sahaja menghempas telefon bimbitnya ke atas lantai, lalu menangis teresak-esak. Tihah hairan. Ini adalah kali pertama Tihah melihat sahabatnya beremosi begitu.
“Aku peninglah!! Sampai bila aku nak hadap semua ni?,” luah Sabrina.
“Sabarlah Sab. Kau kena lawan perasaan kau tu,”pujuk Tihah.
“Aku tahu. Tapi, sampai bila? Aku penatlah Tihah. Kadang-kadang aku rasa nak lepaskan semua dan lari dari sini. Aku penat,” suaranya mula perlahan.
Tihah menarik lembut lengan Sabrina ke arahnya lalu memeluk sahabatnya itu sambil berbisik, “ Sampai kau reda.”
“Reda…” Sabrina mengeluh. Dia tahu dia bukanlah orang yang kuat di dalam melawan perasaan negatif yang sentiasa menyelubungi diri. Masalah demi masalah menimpa, sehingga dia rasa terbeban. Ibunya selalu berpesan supaya cuba untuk melupakan masalah yang datang. “Jadilah orang yang memaafkan dirinya sendiri.” Sabrina sudah mencubanya berkali-kali. Tetapi masih tak dapat melakukan sehabis baik. Kerana hatinya masih merintih.
“Sudah. Jangan nak menangis lagi. Kau tahu tak? Muka kau tu dah semakin buruk,” sambil mengelap air mata sahabat kesayangannya itu.
Kalau diikutkan hati, mahu saja Tihah turut menangis dan meraung bersama Sabrina. Entah kenapa Sabrina sentiasa beremosi semenjak dua menjak ini. Sehingga, pernah pada suatu masa, Tihah berhasrat untuk membawa Sabrina berjumpa doktor psikiatri. Dia risau dengan keadaan Sabrina yang kadang-kadang bercakap seorang diri. Sentiasa di dalam perasaan marah. Tihah sendiri tidak tahu, apakah yang menyebabkan Sabrina berperangai begitu. Pada mulanya, Tihah sendiri tidak tahan untuk melayan ragam Sabrina. Dengan barannya, dengusnya. Tak ada seorang pun yang mampu tersenyum di hadapan Sabrina ketika dia di dalam keadaan begitu.
“Tihah, aku minta maaf. Aku tak mahu jadi macam ni. Tapi, aku betul-betul tidak dapat menahan rasa marahku. Rasa ingin memberontak.”
“Sabrina, cuba kau cerita pada aku. Apa masalah kau sebenarnya? Aku ni pun boleh jadi geng tekanan perasaan macam kau, kalau lama-lama macam ni. Sesiapa pun akan merasa tempias meroyan kau tu.”
Sabrina menjeling. Cepat-cepat Tihah bersuara. “Oi…sabarlah. Aku bergurau saja. Haa, kau lihat diri kau sekarang ni. Aku bergurau pun tak boleh dah. Aku ni berkawan dengan patung ke? Tak ada perasaan? Patung yang tahu marah saja. Aku pun boleh peninglah. Dulu kau tak macam ni pun. Masa aku mula masuk kerja dahulu, kau senior aku yang paling baik sekali. Paling rapat sehingga boleh jadi sahabat baik sehingga sekarang. Tapi, kenapa semenjak dua menjak ni, aku tengok kau macam ada sesuatu yang tak betul. Apa yang membuat kau tiba-tiba jadi macam ni?”
Sabrina tersenyum pahit. Ada benarnya kata-kata sahabatnya. Dia asyik marah, seperti orang yang hatinya dilukai dengan pedang yang tajam. Seolah-olah jiwanya terus terbelah dua. Tak dapat disambung semula. Kadang-kadang, dia sendiri pun tak faham. Dia gagal untuk memahami dirinya sendiri. Yang dia tahu, dirinya tidak dapat dikasari, hatinya tidak boleh dilukai sedikit pun, walaupun sekecil kuman. Sudah beberapa bulan dia menghadapi situasi tegang itu.
“Ceritalah Sab. sekurang-kurangnya, bagi aku ni faham. Kadang-kadang aku rasa nak tinggalkan kau tepi jalan, tahu tak?”
“Kenapa?”
“Yalah. Tak tahu nak senyum. Asyik nak marah. Nak kata kau gila… Oopsss,” sambil menahan ketawa kecilnya.
“Eh…eh…sedapnya kau mengata ya. Depan muka aku pula tu,” Sabrina mencebik.
“Maaf. Ampun tuanku. Hamba tak sengaja.,” sambil tersenyum. “ Sabrina sahabat tersayang, dengar ni.” Tihah diam sejenak. Dia tidak mahu tersalah kata. Risau gadis comel di hadapannya itu akan meragam semula. Setelah menghela nafas panjang, Tihah pun berkata, “ Sabrina, apa kata, kau cerita pada aku, tentang masalah sebenar engkau. Selama kita kenal, kau langsung tak cerita masalah yang kau hadapi. Sekarang ni pula, kau meroyan tak tentu pasal. Nasib baik aku ni jenis memahami dan sanggup biarkan telinga ni bernanah.”
Lama Sabrina membisu. Dia rasa bersalah kerana satu-satunya orang yang setia di sampingnya itu sentiasa di dalam perasaan begitu kerananya. Sabrina merasakan, mungkin sudah tiba untuk dia luahkan semuanya. Sambil membetulkan duduknya, Sabrina melihat wajah lembut Tihah, dan kemudian tersenyum.
“Tihah. Aku minta maaf di atas semuanya.”
“Eh…”
“Kau diam sekejap boleh?”
Secepat kilat Tihah menutup mulutnya dengan tangan kanan sambil mengangguk. Kemudian tersenyum dan memberi isyarat kepada Sabrina untuk meneruskan kata-katanya. Dia menanti dengan hati yang sabar namun berdebar.
“Tihah, aku tertekan. Hati aku sentiasa meronta kerana aku tak dapat melupakan kematian arwah tunang aku. Bukannya aku tak reda dengan pemergiannya. Tetapi, kerana aku, dia kembali kepadaNYA.”
Tihah memandang Sabrina dengan pandangan yang penuh dengan soalan. Baru sahaja mahu membuka mulut untuk berbicara, Sabrina meletakkan jari telunjuknya sendiri ke bibir, memberi isyarat supaya tidak berkata apa-apa. Tihah hanya mengangguk dan tersenyum kecil.
“Mesti kau hairan, kenapa aku cakap macam tu kan?” Tihah menangguk. “Pada malam itu, kami keluar makan malam. Semasa makan tu, kami ada sedikit salah faham. Bukan kerana makanlah. Cuma, arwah tunang aku ni agak cemburu orangnya. Cepat sangat nak cemburu tak tentu pasal. Arwah tanya, aku makan tengahari dengan siapa hari tu? Aku jawablah, Harun. Tak sempat aku nak sebut nama kawan sepejabat yang lain, arwah boleh tinggikan suara di khalayak ramai, marahkan aku. Tengah nak menelan nasi pula tu. Aku marah juga la. Iyalah. Aku tak salah. Aku makan dengan Harun dan Norin. Nama Norin tak sempat arwah dengar, dah melenting. Marahnya tu, tak boleh bawa bincang. Eh…dah macam mengata arwah pula aku ni,” kemudian tersengih. Tihah tersenyum melihat Sabrina akhirnya juga tersenyum.
“Okey. Dipendekkan cerita. Tak nak pula jadi kes mengumpat. Masa dalam kereta yang tengah bergerak, arwah masih juga dengan merajuk dia. Arwah dah tahu, aku makan dengan Norin juga. Tetapi, itulah. Arwah mungkin malu dan ego pula tinggi. Jadi, marah sajalah yang arwah buat. Dalam kemarahan tu, aku termarah la juga. Iyalah, kau cakap benda betul, arwah lagi nak marah. Apa salah aku sampai tak nak bertenang kan? Aku pula yang marah sehinggakan aku cakap, baik kita putus!”, Sabrina menghela nafas panjang dan kemudian menyambung lagi. “Arwah pula, mungkin…entahlah. Arwah boleh pula kata, kalau sayang nak kita putus, abang tak nak. Tak mahu! Kalau nak juga putus, biar abang yang putus nyawa, bukan putus tunang dengan sayang. Sayang nyawa abang. Kalau putus tunang dengan sayang, maknanya sama saja dengan abang putus nyawa!!”
Air mata Sabrina mula menitis ketika itu. Kedengaran suaranya agak bergetar. “Masa arwah cakap semua tu, arwah tak perasan, kereta semakin laju. Aku cuba untuk buat arwah bertenang, tapi tak sempat. Kami terbabas di tepi jalan dan melanggar tiang elektrik. Arwah yang kena paling teruk. Sebab, bahagian hadapan di tempat duduk pemandu yang melanggar tiang elektrik tu. Remuk, Tihah. Remuk. Aku pengsan. Sedar saja, aku dah di hospital. Bila dapat tahu arwah meninggal semasa di dalam perjalanan ke hospital, hati aku berderai, Tihah. Ayat terakhir yang terngiang-ngiang sampai sekarang, abang putus nyawa.” Sabrina tunduk, menekup mukanya. Dia mula menangis. Dan akhirnya, teresak-esak. “Arwah meninggal dunia kerana aku, Tihah. Kerana aku! Aku yang minta putus tunang dengan arwah sehingga arwah ucapkan kata-kata yang langsung tak dapat aku lupakan sampai sekarang.”
Tihah memeluk sahabatnya. Dia berbisik, “ Kenapa kau tak pernah beritahu aku?”
“Semua ini berlaku sebelum kita berkenalan. Aku tak naklah nak teringat kembali memori pedih tu. Tapi, semenjak kejadian itu, aku jadi macam inilah. Cuma, lebih teruk lagi sebenarnya. Aku meroyan. Makan, tidur, sampai solat pun aku tak mahu. Aku tahu menangis saja. Bercakap, menjerit, kenapa? Kenapa? Kenapa bukan aku yang mati? Kerana mulut aku ni, abang mati. Hari-hari aku merintih. Dah macam orang gila. Mak dan bapa aku sangat risaukan keadaan aku. Hampir saja aku ni nak dihantar ke hospital orang gila tau. Mak aku tak nak. Dia yakinkan bapa aku, yang aku ni hanya perlukan masa untuk sembuhkan hati sendiri. Bukan dah jadi gila. Sebab itulah aku dibawa berjumpa doktor psikiatri untuk berubat.”
“Ya ALLAH, besar dugaan kau Na.”
“Alhamdulillah, dua bulan selepas itu aku beransur pulih. Cuma, aku masih bermimpi buruk. Semasa kita mula kenal, aku dah lupakan semuanya.”
“Ya? Tapi kenapa sekarang kau macam tu balik?”
“Dua minggu lepas aku terserempak.”
“Terserempak dengan siapa?”
Sabrina menundukkan kepalanya, “Ibu arwah.”
“Ibu arwah?”
“Ya. Ibu arwah. Semasa kami masih bertunang dahulu, aku dan ibu arwah sangat rapat, Tihah. Dah macam ibu dan anak. Tetapi, semenjak kejadian itu, dia menganggap aku macam pembunuh anaknya. Dia tuduh aku penyebabnya. Dia maki hamun aku sehingga aku rasa macam aku ni hina sangat. Aku tahu, akulah yang menyebabkan kemalangan itu. Tapi, aku juga terluka Tihah. Aku tak minta semua ini berlaku. Aku juga sayangkan anaknya. Tapi, itulah, dia seorang ibu. Aku faham itu. Tetapi, sekurang-kurangnya, cubalah fahami keadaan aku.”
“Sekejap, aku nak tanya sikit. Berapa lama dah benda ni berlaku ye? Maksud aku, arwah meninggal dunia.”
“Dah nama masuk enam tahun dah. Aku baik je selama ini. Syukur. Mak dan bapa aku pun tak risau dah. Cuma, semenjak aku terserempak dengan ibu arwah hari itu, ia mencetuskan kembali perasaan yang aku pernah alami dulu. Yang hampir buat aku jadi gila.”
“Orang tua tu masih juga tuduh kau ke?”, kata Tihah sedikit terkejut.
“Ya, Tihah. Dia masih menganggap aku ni, pembunuh anaknya. Sekali lagi, dia marah dan maki hamun. Aku telan saja. Aku tahu, dia sangat bersedih. Lagi-lagi, arwah anak tunggalnya. Kalau aku pun, tak dapat aku nak maafkan kesalahan ini. Dulu, hari-hari dia akan cuba jumpa aku di rumah, telefon aku, hanya nak melepaskan kesedihan dan kemarahannya pada aku. Aku rasa sangat tertekan Tihah. Aku juga orang yang sangat merasai kehilangan arwah pada ketika itu. Sepatutnya, kami saling bergantung dan bersatu kerana kami sama-sama sayangkan arwah. Arwah juga sangat sayangkan kami. Tetapi, ini yang aku terima. Sampai sekarang Tihah, dia tak dapat maafkan aku. Aku lagilah. Tak dapat nak maafkan diri sendiri.”
Mereka berdua masing-masing membisu seketika. Tihah cuba untuk mencari ayat yang sesuai untuk meyakini Sabrina, yang dia tidak bersalah. Sabrina yang dia kenal bukanlah seperti ini. Walaupun Sabrina pendiam, tetapi dia tak pernah marah-marah atau menangis di khalayak ramai macam hari ini. Setelah menghabiskan makan tengahari, mereka berdua balik ke pejabat dan memulakan pekerjaan. Di dalam hati Tihah, hanya inginkan yang terbaik buat Sabrina. Dia mahu Sabrina sembuh daripada penyakit hati dan perasaan.
Pada petang tadi, Tihah dan Sabrina sudah berjanji untuk makan malam bersama. Tihah cuma mahu berbual lebih lagi dengan Sabrina, memandangkan pada waktu siang, masa terlalu singkat. Mereka berdua memilih untuk makan malam ala barat, iaitu di The Table. Setelah memesan makanan, Tihah memulakan bicaranya.
“Sab, apa kata, kau buat temujanji, jumpa dengan doktor psikiatri lagi? Jangan risau. Bukannya orang gila saja yang berjumpa dengan doktor psikiatri. Orang macam engkau dan aku pun boleh. Kalau rasa hati kau sangat sakit, carilah orang untuk menjadi tempat kau meluahkan perasaan. Tapi, perkara paling utama dan pertama yang kau wajib buat adalah, solat lima waktu. Berdoa kepada ALLAH, minta kat DIA. Insya ALLAH, kalau kau bersungguh-sungguh dan percaya kepadaNYA, kau pasti tidak akan kecewa. Ingat, DIA yang memberi segalanya. Kepada DIA juga kau harus meminta pertolongan. Jumpa doktor psikiatri pula, adalah usaha kau untuk mengubati penyakit kau. Tak ada salahnya. Kalau kau rasa malu atau risau dengan kata-kata daripada manusia sekeliling kau, sampai bila kau nak tanggung rasa sakit seorang diri? Kau yang sakit, bukan mereka. Tolonglah Sabrina. Takkan ada orang yang dapat tolong kau, selain diri kau sendiri.”
Sabrina diam. Dia merenung jauh, memikirkan kata-kata Tihah. Dia mengaku, dia agak lalai dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang wanita Islam. Mungkin di situ silap Sabrina sebagai manusia yang asyik merintih, tetapi lupa pada YANG ESA. Semakin tunduk kepalanya bila dia akui di dalam hati, dia adalah hamba yang lalai. Hamba yang menangis kerana sakit, tetapi egonya tinggi. Lupa untuk merendahkan diri sendiri kerana hanyut di dalam perasaan yang digoda syaitan. Hati hanya ingin dikasihani dan dibelai. Tetapi diri tidak mahu mencuba untuk menjadi hamba yang beriman. Bagaimana untuk mendapat hasil yang baik sekiranya tidak menyemai dengan baik? “Tihah, aku lalai. Apa yang kau beritahu pasal ALLAH, aku akui, aku lalai. Semoga masih ada pintu taubat untukku, Tihah,” ucap Sabrina seraya menitiskan air matanya yang kemudian diseka oleh Tihah. Tihah tersenyum, lalu menarik lembut lengan Sabrina dan memeluknya.
“Sabrina, kita sebagai hambaNYA, jangan sombong sehingga lupa untuk menunaikan tanggungjawab. Jangan hanya mencari DIA di dalam susah sahaja. Di dalam senang, boleh lupa pula. Kalau kau sayang ALLAH, ALLAH lagi berlipat ganda sayangkan kau, tahu tak? Tak sayang? DIA tetap sayang kau. Sabrina, ingat. ALLAH takkan sesekali memberi ujian melebihi keupayaan kita.”