
LOS ANGELES: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan memulakan proses penjualan tiket Piala Dunia 2026 secara berfasa bulan ini dengan harga tempat duduk serendah AS$60 (RM253) untuk perlawanan peringkat kumpulan dan setinggi AS$6,710 (RM28,370) untuk perlawanan akhir.
Harga itu akan berubah mengikut permintaan dan peminat boleh membeli tiket perlawanan tunggal, tiket khusus venue serta pakej khusus pasukan, kata badan induk bola sepak dunia itu, ketika mengumumkan jadual fasa pertama jualan.
Sebanyak 48 pasukan, jumlah terbesar dalam sejarah Piala Dunia, akan beraksi di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai tahun depan.
Peminat yang memiliki kad Visa boleh mendaftar untuk mendapatkan FIFA ID di laman web badan itu bagi menyertai undian pra-jualan yang akan diadakan dari 10 hingga 19 September.
Mereka yang terpilih melalui undian rawak pra-jualan itu boleh memohon untuk membeli tiket mulai 1 Oktober.
Jualan tiket dihadkan kepada empat tiket setiap orang bagi setiap perlawanan, dan tiada individu boleh membeli lebih daripada 40 tiket sepanjang kejohanan.
Fasa penjualan seterusnya akan dilancarkan dalam bulan-bulan akan datang, dengan pendaftaran untuk fasa kedua dijadualkan pada 27 hingga 31 Oktober bagi jualan dari pertengahan November hingga awal Disember.
Fasa ketiga akan bermula sejurus selepas undian kejohanan berlangsung di Washington pada 5 Disember dan peminat boleh mengemukakan permohonan untuk perlawanan tertentu.
Apabila hampir dengan kejohanan, peminat boleh membeli baki tiket yang ada berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat.
FIFA dalam satu kenyataan berkata pihaknya merancang untuk menawarkan produk tambahan seperti tiket penyokong bagi peminat yang mahu duduk bersama penyokong pasukan sama, dan tiket penyokong bersyarat bagi peminat yang mahu menempah tempat di pusingan kalah mati jika pasukan mereka mara.
FIFA juga akan melancarkan platform jualan semula rasmi. – AFP