KUCHING: Keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) membenarkan kapasiti penerbangan 100 peratus antara Sarawak dan Semenanjung diharap dapat menurunkan harga tiket serta meningkatkan frekuensi penerbangan.
Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, ini juga dalam usaha mengatasi keadaan semasa serta hasil maklum balas daripada orang ramai kepada situasi yang dihadapi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19.
“Keputusan dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor serta keperluan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik terutama sektor pelancongan dan untuk memudahkan penghantaran barang untuk tujuan perniagaan, pergerakan rasmi dan peribadi orang ramai.
“Selain itu, ia bagi membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi domestik, kita berharap semua syarikat penerbangan dapat meneruskan frekuensi penerbangan mereka seperti biasa terutamanya penerbangan Sarawak – Semenanjung – Sarawak.
“ Untuk tujuan ini, semua syarikat penerbangan perlu membuat permohonan secara rasmi kepada JPBNS untuk meningkatkan frekuensi penerbangan mereka ke Sarawak dan di dalam Sarawak,” katanya pada sidang media mengenai kapasiti dan frekuensi penerbangan Sarawak – Semenanjung – Sarawak, di sini, semalam.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada syarikat-syarikat penerbangan, tambang penerbangan yang dikenakan semasa PKP sangat tinggi seperti yang disuarakan oleh orang ramai.
“Sebagai contoh, tambang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching adalah RM2,100 dan dari Kuala Lumpur ke Miri RM2,366.
“Sebelum ini, JPBNS hanya membenarkan kapasiti penerbangan 66.6 peratus untuk kedua-dua penerbangan dari Sarawak ke Semenanjung dan begitu juga sebaliknya.
“Sehubunan itu, semua agensi termasuk operator lapangan terbang dan pengendali syarikat penerbangan mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kepada penumpang di terminal dan semasa berada di dalam pesawat.
“Walaupun persetujuan telah diberikan untuk perjalanan antara negeri dan dengan kapasiti penerbangan 100 peratus, semua mesti mematuhi SOP termasuk pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki terminal lapangan terbang, penggunaan topeng muka oleh kru dan penumpang serta penggunaan cecair pembersih tangan,” jelasnya.
Beliau yakin semua pihak berkepentingan yang terlibat terutamanya pengendali lapangan terbang, pengendali syarikat penerbangan dan penumpang akan memainkan peranan mereka dan bekerjasama dalam mematuhi SOP untuk mengekang penyebaran covid-19 di negeri ini.
Oleh Zarina Abdullah