
KUCHING: Tambang penerbangan AirBorneo kekal pada kadar semasa buat masa ini meskipun syarikat berdepan peningkatan kos bahan api susulan perkembangan global yang memberi kesan kepada harga tenaga.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin, terdapat sedikit peningkatan dalam perbelanjaan operasi syarikat, khususnya melibatkan kos bahan api.
“Memang terdapat sedikit peningkatan dalam perbelanjaan, khususnya kos bahan api.
“Namun misi kami juga mempunyai tanggungjawab sosial, terutamanya dari segi ketersambungan kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis berbuka puasa AirBorneo bersama media di sini, hari ini.
Tambahnya, perkhidmatan penerbangan ke kawasan luar bandar perlu diteruskan memandangkan ia juga merupakan sebahagian daripada perjanjian dengan kerajaan.
“Sebarang surcaj bahan api perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan, khususnya kerajaan Persekutuan.
“Kami bukan seperti syarikat penerbangan komersial sepenuhnya yang terus menaikkan harga tiket apabila harga bahan api meningkat.
“Setakat ini tiada kenaikan harga tambang dikenakan kepada penumpang. Buat masa ini harga tiket masih sama. Untuk perancangan masa depan, khususnya apabila kita memulakan operasi pesawat jet, kos operasi akan diambil kira dalam perancangan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut mengkaji strategi perolehan bahan api serta langkah mitigasi kos bagi menilai implikasi kewangan dan kaedah mengurangkan kos operasi.
“AirBorneo akan terus memantau perkembangan harga tenaga global termasuk harga minyak bagi menentukan langkah seterusnya.
“Banyak perkara masih berada di peringkat awal, termasuk isu harga bahan api dan kita juga belum pasti bagaimana keadaan harga tenaga global pada masa akan datang.
“Oleh itu, kita akan terus memantau bukan sahaja harga minyak tetapi juga harga tenaga global bagi melihat langkah yang boleh diambil,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan perancangan pengembangan operasi AirBorneo tetap berjalan seperti yang dirancang kerana ia penting untuk masa depan Sarawak.
Untuk rekod, industri penerbangan global ketika ini turut berdepan ketidaktentuan harga bahan api susulan perkembangan geopolitik di Asia Barat yang menjejaskan laluan perdagangan tenaga dunia melalui Selat Hormuz, sekali gus memberi kesan kepada kos operasi syarikat penerbangan
Oleh Masrin Affirah