
KUALA LUMPUR: Harga saham FGV Holdings Bhd rendah dalam sesi dagangan awal Selasa berikutan laporan perkembangan terkini mengenai rancangan penyusunan semulanya oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Setakat dagangan 10.02 pagi ini, harga saham FGV turun 1.0 sen kepada RM1.30 dengan 64,300 saham diniagakan.
Pada Isnin, Felda memaklumkan tindakannya menghantar dokumen tawaran bagi rancangan penyusunan semula FGV dengan tarikh tutup tawaran ditetapkan pada 5 petang, Isnin, 7 Julai 2025, kecuali dilanjutkan.
Tawaran berkenaan adalah sebahagian daripada usaha pengambilalihan sukarela tanpa syarat oleh Felda dalam memperoleh baki saham FGV pada harga RM1.30 sesaham.
Walaupun Felda dan anak syarikatnya, Felda Holdings Company Sdn Bhd, memegang kepentingan kolektif sebanyak 82.34 peratus dalam FGV, agensi itu berkata pengaruhnya terhadap pengurusan syarikat sebaliknya adalah terhad memandangkan tidak menguasai lembaga pengarah.
Tawaran terkini yang dilancarkan pada 26 Mei pada harga RM1.30 sesaham, juga memaparkan percubaan terdahulu Felda yang tidak berjaya dalam usaha penyusunan semula FGV pada 2020.
Pada tahun berkenaan, Felda memulakan usaha tawaran pengambilalihan mandatori apabila meningkatkan pegangannya dalam FGV daripada 33.66 peratus menerusi pembelian saham daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Urusharta Jamaah pada harga RM658 juta.
FGV yang mula disenaraikan pada 2012 dengan harga RM4.55 sesaham, berjaya mengumpul RM10.5 bilion yang menjadi antara penyenaraian awam permulaan terbesar di Malaysia.
Bagaimanapun, harga sahamnya telah merosot ketara sejak itu yang mendorong kepada beberapa usaha berulang kali bagi penyusunan semula berkenaan.— Bernama