
KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97 di Semenanjung Malaysia akan diturunkan sebanyak tiga sen kepada RM3.07 seliter bermula 5 Jun hingga 11 Jun 2025, selaras dengan penurunan harga pasaran minyak dunia, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
MOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turut diturunkan tiga sen kepada RM2.74 seliter bagi tempoh sama, manakala harga runcit RON95 pula kekal pada paras RM2.05 seliter.
“Harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan juga kekal pada RM2.15 seliter,” menurut kenyataan itu.
Penetapan harga runcit produk petroleum ini dibuat secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), dengan mengambil kira trend semasa pasaran minyak mentah dunia.
Menurut MOF, kerajaan akan terus mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. – Bernama