
KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi di seluruh negara turun dua sen seliter, masing-masing kepada RM3.27 dan RM2.64 seliter bagi tempoh 11 hingga 17 Disember ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia juga turun dua sen kepada RM3.06 seliter, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter bagi tempoh sama.
Harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) turut kekal pada RM1.99 seliter.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97, RON95 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak serta menyokong kestabilan harga,” menurut kenyataan itu.
Menurut MOF, penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan adalah menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (Automatic Pricing Mechanism).
Kenyataan itu menyebut kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
-BERNAMA