KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menurunkan harga pelitup muka jenis tiga lapis kepada RM1.00 daripada RM1.20 seunit di peringkat runcit dan RM0.95 daripada RM1.15 di peringkat pemborong.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, penurunan harga itu berdasarkan penilaian berterusan ke atas kedudukan bekalan dan harga pelitup muka oleh kementerian dengan tarikh pelaksanaan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Penurunan harga maksimum pelitup adalah langkah yang bersifat ‘soft landing approach’ bagi membolehkan stok yang dibawa masuk terdahulu dengan kos yang lebih tinggi dengan menggunakan pengangkutan udara dapat dijual bagi mengurangkan kerugian pengimport akibat daripada penurunan harga ini.
‘Kementerian juga bersedia untuk menurunkan lagi harga siling tersebut ke paras yang lebih rendah pada masa-masa akan datang dan diharap usaha ini dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa yang perlu menyediakan pelitup muka buat anak-anak yang sudah memulakan persekolahan dan untuk kegunaan orang ramai,” katanya.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata demikian dalam sesi soal jawab lisan terhadap Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen mengenai harga maksima pelitup muka tiga lapis pada Persidangan Dewan Rakyat, semalam.
“Buat masa ini, bekalan pelitup muka adalah mencukupi dan pengeluaran sedang dipertingkatkan malah harga jualan pelitup muka yang dijual oleh pengilang juga semakin menurun di bawah harga maksimum yang dikawal oleh kerajaan.
“Kita akan tengok dan kaji lagi bersama semua pihak berkaitan dan ia akan turunkan lagi. Itu jaminan kementerian ataupun Kerajaan yang prihatin,” jelasnya.
Tambahnya, kementerian menghargai pengilang tempatan yang turut memberikan sokongan kepada kerajaan dengan membantu memulihkan keberadaan pelitup muka di pasaran tempatan dengan tidak mengeksport ke luar negara yang telah menyumbang kepada kecukupan bekalan domestik.
“Kementerian juga melaksanakan kerjasama bersama Kementerian Kewangan bagi meningkatkan pembekalan bekalan topeng muka di dalam pasaran tempatan dengan memberi pengecualian duti import dan cukai jualan kepada pengilang dan pengimport topeng muka,” katanya.
Terdahulu, kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mewajibkan orang ramai untuk memakai pelitup muka bermula 1 Ogos 2020 di dalam pengangkutan awam dan tempat tumpuan sesak. Susulan arahan tersebut telah berlaku peningkatan permintaan ke atas pelitup muka di pasaran.