Harga petrol, diesel tanpa subsidi turun mulai esok hingga 19 Ogos – MOF

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Harga runcit produk petroleum tanpa subsidi bagi tempoh 13 hingga 19 Ogos turun dengan RON97 berkurang 20 sen seliter, manakala RON95 serta diesel tanpa subsidi masing-masing turun 15 sen dan 10 sen.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan hari ini, bagi tempoh berkenaan, harga RON97 ditetapkan pada RM4.15 seliter berbanding RM4.35 sebelum ini, RON95 tanpa subsidi pada harga RM3.62 seliter berbanding RM3.77 dan diesel tanpa subsidi pula ditetapkan pada RM4.47 seliter berbanding RM4.57 sebelum ini.

Pada masa sama, harga petroleum bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter bagi RON95 di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan RM2.10 seliter bagi diesel di bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).

MOF memaklumkan Kerajaan MADANI menanggung subsidi RM1.63 seliter bagi pengguna yang layak di bawah BUDI95, bersamaan dengan kira-kira 82 peratus daripada harga RM1.99 seliter yang dibayar di pam, manakala bagi BUDI Diesel, subsidi sebanyak RM2.37 seliter ditanggung, bersamaan dengan kira-kira 113 peratus daripada harga RM2.10 seliter yang dibayar di pam.

Harga bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Dalam pada itu, MOF memaklumkan penurunan berkenaan susulan kejatuhan harga minyak dunia pada minggu lepas, apabila harapan terhadap penyelesaian konflik antara Amerika Syarikat dengan Iran menyebabkan harga minyak dunia diniagakan pada paras lebih rendah bagi sebahagian besar minggu tersebut.

Harga minyak mentah Brent turut merosot ke bawah AS$80 setong pada awal tempoh pengiraan harga Mekanisme Harga Automatik (APM), iaitu paras terendah dalam tempoh tiga minggu.

“Namun begitu, premium risiko geopolitik kembali meningkat menjelang penghujung tempoh pengiraan APM apabila prospek rundingan antara Amerika Syarikat dengan Iran kembali merosot, susulan tuntutan baharu yang dikemukakan kedua-dua pihak,” menurut kenyataan itu.

Kementerian berkenaan memaklumkan harga Brent meningkat hampir lima peratus pada Isnin apabila kebimbangan terhadap pembukaan semula Selat Hormuz kembali memuncak.

“Ketidaktentuan mengenai pembukaan semula Selat Hormuz terus menimbulkan risiko gangguan bekalan minyak dunia, sekali gus memberikan tekanan terhadap harga petroleum.

“Dengan itu, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara dalam tempoh terdekat,” menurut MoF. – Bernama