KUALA LUMPUR: Penanda aras niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) Malaysia mungkin didagangkan lebih tinggi pada bulan Jun dan Julai pada harga RM2,400 satu tan metrik jika pengeluar minyak makan kedua terbesar di dunia itu mengekalkan jumlah eksportnya yang lebih tinggi, termasuk eksportnya ke India, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics, Dr. Sathia Varqa.
Namun, apabila pengeluaran mencapai puncaknya dari bulan Ogos hingga Oktober, harga komoditi mungkin turun sedikit hingga RM2,200 setan metrik.
“Jumlah eksport dari Malaysia ke India adalah positif pada bulan Mei, kita melihat sokongan terhadap niaga hadapan minyak sawit mentah pada dua minggu lepas,” katanya pada sesi webinar global bertajuk “Is Covid-19 a Bull or a Bear for Veg Oils?” anjuran Persatuan Pengeluar Minyak Sayuran India.
India, pembeli utama minyak sawit Malaysia, telah menyambung semula pembelian minyak sawit selepas empat bulan, dalam persekitaran meningkatkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara, kata Sathia.
Contohnya untuk bulan Mac, Malaysia hanya mengeksport 10,806 tan minyak sawit ke India, penurunan 97 peratus berbanding tahun sebelumnya dan jumlah bulanan terendah sejak tahun 2000.
Sathia berkata, bagi empat bulan pertama tahun 2020 eksport minyak sawit Malaysia turun sebanyak 25 peratus berbanding tempoh Januari hingga April 2019.
Mengenai pengeluaran, Malaysia dan Indonesia, akan menyaksikan pengeluaran yang lebih rendah ketika menghadapi cabaran penularan Covid-19.
Pengeluaran Malaysia dijangka turun kepada 19 juta tan pada tahun 2020 dari 19.85 juta pada tahun 2019 sementara pengeluaran Indonesia kemungkinan tidak akan berubah, iaitu sebanyak 45 juta tan.
Walaupun Malaysia mengurangkan cukai eksport MSM kepada sifar peratus pada bulan Jun dari 4.5 peratus pada bulan Mei dan Indonesia meningkatkan levi antara AS$5 hingga AS$ 55, eksport MSM Malaysia akan menikmati potongan harga.
Ini menjadikan MSM Malaysia lebih murah daripada Indonesia antara AS$10 hingga AS$15, katanya.
“Ini adalah perkara baik untuk Malaysia dalam jangka pendek. Namun, jika Indonesia memutuskan untuk membatalkan levi atau mengurangkan levi, maka segalanya akan berubah dan sebaliknya. (Sekiranya Malaysia memutuskan untuk mengubah cukai eksportnya, MSM Indonesia akan menjadi lebih murah di pasaran global).
“Sementara itu, tatkala perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) masih tidak menentu, China mungkin tidak akan meneruskan pembelian minyak kacang soya dari AS dan beralih ke Brazil.
“Tetapi ketika Covid-19 telah banyak memberi kesan di sektor pertanian, China mempunyai pilihan untuk membeli minyak makan dari Malaysia dan Indonesia dan dengan harganya yang lebih murah, Malaysia mungkin mendapat lebih banyak keuntungan,” katanya.
Dr, James Fry dari LMC International Ltd, yang turut serta dalam sesi webinar itu yang berlangsung selama tiga jam dengan jumlah sebanyak 12,000 peserta dalam talian, berkata, permintaan biodiesel pasti merosot kerana penggunaan bahan bakar telah terjejas akibat penularan Covid-19.
“Namun, permintaan biofuel ditentukan oleh dasar kerajaan. Mandat sering diumumkan tetapi tidak selalu dilaksanakan. Di Malaysia, kita telah melihat mandat B20 (campuran 20 peratus biodiesel) ditunda beberapa kali, mungkin kerana kerajaan tidak mahu membayar subsidi yang lebih besar atau mahu pemandu (pengguna) membayar lebih banyak untuk bahan bakar.
“Indonesia, dengan mandat B30 yang jauh lebih besar telah menghadapi masalah untuk membiayai mandat tersebut dengan memerlukan pengeluar membayar levi eksport yang tinggi kepada satu dana untuk memastikan biodiesel kekal berdaya saing,” katanya. – Bernama