
KUALA LUMPUR: Harga semasa minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal disokong pada paras semasa, dengan dagangan dalam julat RM4,500 hingga RM4,600 setan bulan ini, menurut CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd.
Firma penyelidikan itu berkata bekalan minyak sawit kekal terhad pada Mac berikutan tempoh kerja lebih singkat sepanjang bulan Ramadan, yang dijangka memberi kesan kepada produktiviti pekerja.
“Kami menjangkakan eksport minyak sawit akan kekal lemah pada Mac berikutan catuan permintaan di tengah-tengah harga premium MSM berbanding pesaing minyak sayuran.
“Berdasarkan tinjauan terkini Intertek Testing Services (ITS), eksport minyak sawit pada 1 hingga 10 Mac 2025 mencatatkan penurunan 25 peratus bulan ke bulan berbanding tempoh sama pada Februari,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), stok minyak sawit terus menyusut untuk bulan kelima berturut-turut sejak Oktober 2024, dengan penurunan tujuh peratus bulan ke bulan kepada 1.51 juta tan pada Februari.
Bagaimanapun, paras penurunan itu lebih rendah berbanding jangkaan pasaran yang dianggarkan dalam lingkungan 1.48 juta hingga 1.49 juta tan, susulan eksport yang lebih rendah sedikit daripada jangkaan.
CGS International menjelaskan, penurunan inventori minyak sawit pada Februari dipengaruhi oleh pengurangan empat peratus bulan ke bulan dalam pengeluaran MSM, selain penurunan ketara 25 peratus bulan ke bulan dalam import komoditi itu.
Meskipun harga MSM dijangka kekal tinggi pada suku pertama 2025, firma penyelidikan itu masih mengekalkan pendirian berkecuali terhadap sektor minyak sawit.
“Kami menjangkakan MSM berpotensi melemah pada suku kedua, didorong oleh pemulihan pengeluaran minyak sawit terutama dari Indonesia serta peningkatan bekalan daripada pesaing minyak sayuran.
“Kami terus memilih SD Guthrie Bhd dan Hap Seng Plantation Holdings Bhd sebagai pilihan utama dalam sektor ini,” katanya. – Bernama