
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Serangan tentera Israel ke atas Iran awal pagi semalam menyebabkan harga minyak meningkat dengan ketara, sekali gus melonjakkan Indeks Tenaga Bursa Malaysia sebanyak 2.01 peratus kepada 740.76 mata berbanding 726.13 mata ketika ditutup.
Ketika ini, minyak mentah Brent diniagakan pada harga AS$74.30 setong.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata memandangkan skala dan kepentingan strategik Iran dalam pasaran minyak global, kejutan semasa boleh menghasilkan impak sehingga dua atau bahkan tiga kali ganda berbanding kejadian sebelum ini.
“Pasaran sebelum ini mengunjurkan harga minyak mentah Brent akan terus turun, dengan purata AS$61 setong menjelang akhir tahun dan AS$59 setong pada 2026.
“Bagaimanapun, unjuran harga ini terganggu secara tiba-tiba berikutan serangan Israel ke atas kemudahan nuklear Iran awal hari ini (semalam), menyebabkan harga minyak meningkat secara mendadak,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, kejutan geopolitik seperti itu telah mencetuskan pemilihan kepada sektor lain dengan segera dalam kalangan pelabur yang ingin memindahkan semula risiko.
Mohd Sedek berkata, ketegangan yang meningkat membabitkan dua negara pengeksport minyak utama berpotensi membawa kepada kesan yang lebih ketara dan berterusan.
Memetik konflik Russia-Ukraine, beliau berkata harga minyak mentah Brent meningkat dengan ketara dari 24 Februari hingga 8 Mac 2022.
“Apa yang ketara, harga sudah menunjukkan trend kenaikan sebelum pencerobohan (Russia), meningkat daripada AS$73 setong pada Disember 2021 kepada AS$93 setong menjelang akhir Februari.
“Sama seperti sekarang, harga Brent sudah berada dalam trend kenaikan sebelum peningkatan ketegangan hari ini, dengan harga naik kepada sekitar AS$70 setong,” kata beliau.
Mengenai unjuran, beliau berkata pasaran kini sedang dalam proses menilai semula risiko geopolitik, dengan harga minyak mentah Brent berpotensi meningkat melebihi AS$80 setong.
“Dalam jangka pendek, ini memberikan peluang taktikal untuk perdagangan sektor minyak dan gas. Berbeza dengan lonjakan harga yang hanya bertahan sekitar dua minggu semasa fasa awal perang Russia-Ukraine, tempoh kejutan harga minyak kali ini dijangka lebih berpanjangan,” tambah beliau.
Pada 5 petang semalam, harga saham Petron Malaysia meningkat 14 sen kepada RM3.88, Hengyuan Refining Company naik 13 sen kepada RM1.85, Hibiscus Petroleum menokok 11 sen kepada RM1.66, manakala Deleum bertambah sembilan sen kepada RM1.54. – BERNAMA