Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Harga minyak global melambung, pasaran saham merosot susulan ketegangan di Asia Barat
  • BISNES

Harga minyak global melambung, pasaran saham merosot susulan ketegangan di Asia Barat

Utusan Sarawak 7 hours ago
GAMBAR hiasan.

BEIJING: Serangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran telah mencetuskan lonjakan mendadak harga minyak global, sekali gus memberi impak besar kepada pasaran saham dan menambah ketidakstabilan ekonomi dunia, lapor Xinhua.

Harga minyak mentah AS melepasi paras ambang AS$100 setong sejurus selepas siri serangan itu , mencecah titik tertinggi sejak bermulanya krisis Ukraine pada 2022. Harga minyak mentah Brent didagangkan pada AS$114.78 setong, manakala penanda aras minyak mentah AS melonjak kepada hampir AS$114.00. Kedua-dua harga berkenaan meningkat lebih 20 peratus berbanding harga penutup pada Jumaat lalu.

Kenaikan terbaharu itu melengkapkan minggu yang tidak menentu dan menyaksikan minyak mentah AS melonjak 36 peratus dan Brent meningkat 28 peratus. Pasaran bertindak balas terhadap kebimbangan bahawa serangan ketenteraan AS-Israel ke atas Iran mengancam pengeluaran minyak serantau dan menyekat laluan perkapalan kritikal.

Antara faktor utama termasuk sekatan di Selat Hormuz, laluan sempit yang penting bagi perdagangan minyak global, serta pengurangan pengeluaran daripada pengeksport utama seperti Iraq, Qatar, Kuwait, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akibat kapasiti penyimpanan dan penapisan yang terhad.

Syarikat Petroleum Kebangsaan Kuwait telah mengumumkan pengurangan pengeluaran susulan ancaman keselamatan dan gangguan perkapalan.

Penganalisis menjangkakan pasaran minyak akan terus berdepan kekurangan bekalan yang ketara dengan premium risiko geopolitik kekal tinggi, biarpun negara pengeluar berusaha meningkatkan bekalan. Lonjakan harga ini menambah tekanan kepada ekonomi global yang sedang bergelut.

Di sektor kewangan, indeks saham utama mencatatkan kemerosotan mendadak. Di Asia, Bursa Saham Tokyo mengalami kerugian besar pada Isnin dengan Nikkei 225 menjunam lebih tujuh peratus. Pasaran saham Korea Selatan turut terjejas apabila indeks niaga hadapan KOSPI 200 jatuh lebih enam peratus, mencetuskan penggantungan sementara jualan automatik.

Pasaran Eropah turut berdepan gelombang jualan panik dengan niaga hadapan EUROSTOXX 50 dan DAX kedua-duanya merosot 3.2 peratus, manakala niaga hadapan FTSE susut 1.7 peratus.

Di Amerika Syarikat, pasaran saham menunjukkan ketidaktentuan yang ketara apabila niaga hadapan S&P 500 susut 2.1 peratus dan niaga hadapan Nasdaq merosot 2.5 peratus. Pelabur bimbang lonjakan harga minyak akan menyebabkan kos pengeluaran lebih tinggi dan inflasi meningkat, yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi ketika pemulihan pasca pandemik masih rapuh.

Ketidaktentuan pasaran semasa menyerlahkan kebimbangan terhadap kerosakan struktur jangka panjang akibat serangan AS-Israel ke atas Iran. Dengan ekonomi global yang masih belum stabil, peningkatan konflik ini berisiko membantutkan trend pemulihan dan memberi kesan riak jauh ke luar wilayah Asia Barat.

-Bernama  

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: Bursa Malaysia dibuka rendah, harga minyak melepasi AS$105 setong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.