
KUALA LUMPUR: Harga minyak global berkemungkinan kekal tinggi sekiranya konflik di Asia Barat terus meruncing tanpa sebarang gencatan senjata, menurut syarikat perisikan perniagaan dan penyelidikan tenaga bebas Rystad Energy, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Jarand Rystad berkata, keadaan itu boleh menyebabkan permintaan untuk minyak menjadi berkurangan sehingga 10 juta tong sehari, iaitu hampir sama seperti yang berlaku semasa pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keadaan itu bukanlah sebagai senario asas, sambil menyatakan gencatan senjata masih merupakan keputusan yang lebih berkemungkinan memandangkan konflik berpanjangan akan memudaratkan semua pihak yang terlibat.
“Kemungkinan untuk harga minyak yang tinggi berlaku adalah lebih kecil jika kita mencapai gencatan senjata kerana semua pihak mengalami kerugian. Mungkin Iran akan mendapat kawalan ke atas Selat Hormuz dan membenarkan kapal negara sahabat untuk lalu dan mengenakan bayaran bagi kapal negara lain.
“Tetapi itu juga bermaksud Iran akan menjadi pihak yang menang dalam konflik ini. Ia sangat sukar untuk diterima oleh Amerika Syarikat. Itulah sebabnya apa yang akan terjadi masih penuh dengan ketidakpastian,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai unjuran harga minyak pada suku kedua 2026 di luar sesi persidangan Offshore Technology Conference Asia (31 Mac–2 April) di sini, hari ini.
Sebagai makluman, harga minyak lazimnya turun naik dengan ketara antara jangkaan risiko dan keadaan sebenar ketika krisis geopolitik.
Harga pernah melonjak kepada sekitar AS$144–AS$145 setong pada Julai 2008 sebelum merosot sekitar AS$30 menjelang akhir tahun susulan krisis kewangan global. Ia sekali lagi jatuh di bawah AS$20 pada Mac hingga April 2020 semasa pandemik COVID-19 akibat kejutan permintaan yang teruk dan lebihan bekalan.
Harga minyak mentah Brent melonjak semula ke paras tertinggi intra hari AS$119.50 setong pada 9 Mac, 2026, berikutan konflik Asia Barat pada 28 Februari dan penutupan Selat Hormuz.
Terdahulu, Rystad Energy menerbitkan kertas putih baharunya bertajuk ‘Advancing Offshore Energy Responsibly in Asia’.
Menurut laporan itu, permintaan tenaga global dijangka meningkat sekitar 15 peratus dalam 15 tahun akan datang, sekali gus memerlukan pelaburan besar untuk sumber tenaga konvensional dan tenaga rendah karbon.
Bagi menyokong permintaan itu yang selaras dengan matlamat iklim global, laporan itu menyatakan bahawa jumlah pelaburan tenaga global mungkin perlu melebihi AS$5 trilion setahun menjelang 2045.
Kertas putih itu juga mengetengahkan tenaga luar pesisir sebagai tonggak strategik dalam campuran tenaga masa depan di Asia.
Ia berkata pelaburan tenaga luar pesisir serantau dijangka pada purata sekitar AS$150 bilion setiap tahun sehingga 2035, menyokong kedua-dua pembangunan minyak dan gas yang berterusan serta pengembangan teknologi tenaga bersih luar pesisir.
Kertas putih itu menyatakan tenaga angin luar pesisir, pemerangkapan dan penyimpanan karbon, serta tenaga solar terapung dijangka memainkan peranan yang semakin penting dalam peralihan tenaga di rantau ini, selari dengan keupayaan pembuatan Asia yang kukuh dalam rantaian bekalan tenaga boleh baharu. – Bernama