
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah global dijangka melonjak antara AS$87 hingga AS$90 setong, didorong kebimbangan mengenai potensi penutupan Selat Hormuz dan risiko kerosakan infrastruktur minyak Iran susulan konflik berterusan antara Iran dan Israel.
Setakat 18 Jun, harga minyak mentah Brent merekodkan penurunan sebanyak 0.68 peratus kepada AS$75.93 setong, namun penganalisis menjangkakan trend ini mungkin tidak berpanjangan jika ketegangan terus memuncak.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes menekankan Selat Hormuz kekal sebagai laluan laut sempit kritikal yang menjadi saluran kepada kira-kira 20 peratus penghantaran minyak dunia.
“Harga minyak telah meningkat lapan hingga 11 peratus dalam tempoh beberapa minggu ini dan pasaran bersedia untuk sebarang kemungkinan gangguan. Kesan limpahan daripada konflik ini dapat dilihat dalam kos penghantaran, premium insurans dan sentimen risiko keseluruhan dalam pasaran komoditi,” katanya.
Beliau menambah, buat masa ini, penghantaran minyak kekal stabil memandangkan Iran masih mengeksport kira-kira dua juta tong sehari dan Selat Hormuz masih dibuka.
Namun, peniaga mengambil langkah lindung nilai susulan jangkaan gangguan bekalan yang meningkat.
Pada peringkat global, Innes berkata impak konflik terhadap ekonomi dunia kekal sederhana.
Bagaimanapun, peningkatan ketegangan dan gangguan terhadap laluan perkapalan dijangka sedikit menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global.
“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dijangka menurunkan sedikit unjuran pertumbuhan globalnya jika konflik meningkat, terutamanya jika terdapat kesan limpahan ke atas rantaian bekalan atau gangguan terhadap laluan perkapalan utama di Asia Barat,” jelasnya.
Risiko lebih besar, kata Innes, terletak pada kesilapan dasar. Ini termasuk bank-bank pusat secara salah menganggap inflasi yang didorong oleh tenaga sebagai jangka panjang, atau jika kerajaan bertindak keterlaluan dengan memberikan subsidi yang banyak.
Innes juga menegaskan, dengan sumber tenaga yang lebih pelbagai, kecekapan yang lebih tinggi dan peningkatan penggunaan kenderaan elektrik (EV), ekonomi global kini kurang bergantung pada minyak berbanding sebelum ini.
“Terdapat impak global, tetapi ia bersasar, tidak sekata dan sebahagian besarnya dapat diatasi. Persoalan lebih besar bukanlah sama ada harga minyak akan meningkat, tetapi untuk tempoh berapa lama ia akan kekal tinggi dan sama ada geopolitik ini mengubah semula pola perdagangan tenaga dengan cara yang lebih kekal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan, industri minyak dan gas telah melalui perubahan struktur sejak 2014, terutama apabila pengeluaran minyak syal oleh Amerika Syarikat (AS) meningkat secara signifikan, sekali gus mengubah keseimbangan bekalan minyak global. Situasi ini mendorong negara-negara anggota OPEC+ untuk mula mengurangkan pengeluaran mereka pada 2016 bagi menstabilkan harga minyak.
“Tidak dinafikan, perkembangan pesat EV juga telah mengubah dinamik permintaan dalam sektor minyak dan gas. Oleh itu, dengan atau tanpa konflik Israel-Iran, prospek industri minyak dan gas adalah mencabar.
“Kebimbangan utama ialah jika konflik ini merebak dan melibatkan rantau lain serta negara-negara utama. Jika itu berlaku, tahap ketidaktentuan ekonomi akan meningkat dengan ketara dan berpotensi mengganggu aliran perdagangan,” katanya.
CIMB Securities berpendapat, halangan utama atau aktiviti ketenteraan yang meningkat di Selat Hormuz boleh menyebabkan gangguan bekalan signifikan dan kejutan besar dalam pasaran tenaga dunia.
“Walaupun pada masa ini tiada tanda-tanda tersebut, ia terus menjadi risiko utama yang perlu dipantau,” menurut nota penyelidikan CIMB Securities.
Penutupan selat tersebut, katanya, boleh menjejaskan kepentingan Iran sendiri kerana negara itu juga bergantung pada laluan berkenaan untuk eksport minyaknya.
Sebarang gangguan akan memudaratkan ekonominya dan menjejaskan pelanggan utama seperti China berbanding memberi sebarang manfaat.
Syarikat penyelidikan tenaga berpangkalan di Norway, Rystad Energy menekankan bahawa demi kepentingan semua negara Asia Barat untuk memastikan Selat Hormuz kekal terbuka dan mengelak sebarang gangguan bekalan.
Penganalisis Kanannya, Lu Min Pang berkata, walaupun kemungkinan gangguan adalah rendah berdasarkan ketegangan yang berkurangan sebelum ini, tahap keseriusan gangguan bekalan sebanyak 20 peratus akan menjadi sangat tinggi, menjadikannya wajar untuk mengambil kira risiko penghantaran dari rantau ini.
“Ia akan memberi manfaat bersama kepada AS, rakan sekutunya dan pengeksport gas asli cecair (LNG) di Asia Barat untuk memastikan laluan perairan tersebut kekal terbuka.
“Ini akan mengelak gangguan terhadap eksport LNG Qatar dan Emiriah Arab Bersatu, yang menyumbang sebanyak 27 peratus daripada semua import LNG ke Asia dan 8.5 peratus daripada semua import ke Eropah serta mengelak lonjakan harga yang tidak mampan disebabkan kejutan bekalan,” katanya dalam kenyataan. – Bernama