KUALA LUMPUR: Usaha tahunan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) mengimbangi komitmen bagi kepentingan sendiri dan memberi dividen khas kepada kerajaan Persekutuan, dijangka lebih mudah pada tahun ini berikutan prospek prestasi kewangannya untuk separuh pertama yang positif serta pengukuhan harga minyak.
Syarikat minyak dan gas negara itu yang akan mengumumkan keputusan prestasi kewangan bagi tempoh suku kedua esok, merupakan sumber utama hasil untuk kerajaan.
Pada Februari lepas misalnya, PETRONAS telah mengulangi bahawa syarikat itu akan membayar dividen sebanyak RM18 bilion kepada kerajaan tahun ini meningkat daripada RM10 bilion pada tahun lepas.
Kerajaan mempunyai ruang fiskal yang terhad selepas mengalami defisit belanjawan bagi tempoh sekurang-kurangnya sedekad dan impak buruk pandemik Covid-19 yang tidak dijangkakan pula hanya mengehadkan lagi sumber dana awam yang boleh dimanfaatkan.
Pada 26 April 2021, keputusan kerajaan menggunakan RM5 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN), mendapat kritikan atas alasan tidak konsisten dengan matlamat dana tersebut bagi keperluan generasi akan datang.
Defisit fiskal Malaysia dijangka meningkat sekitar 6.5 peratus hingga 7.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berbanding 6.0 peratus yang disasarkan sebelum ini selepas mengambil kira pelbagai pakej rangsangan yang diumumkan oleh kerajaan.
Malaysia juga pernah mencatat defisit tertinggi sekitar 6.7 peratus hingga 6.9 peratus pada tempoh 2008-2009.
“Amat penting untuk mengambil kira bahawa PETRONAS telah memberi dividen khas ini sejak beberapa tahun lepas. Jika trend sebegini berterusan, ini hanya menjejaskan kemampuannya untuk melabur dalam projek-projek baharu bagi tujuan menjana hasil akan datang,” kata Pensyarah Asia School of Business, Profesor Madya Renato Lima De Oliveira kepada Bernama.
Beliau diminta mengulas mengenai kemungkinan PETRONAS terpaksa memberi dividen tambahan kepada kerajaan.
Menurutnya, ini terutamanya penting dalam perniagaan huluan berikutan langkah syarikat-syarikat terbabit mengeluarkan sumber terhad iaitu simpanan minyak dan gas yang sedia ada.
“Tanpa pelaburan dalam usaha mencari serta membangunkan (sumber) simpanan baharu, pengeluaran akan berkurangan dan seterusnya hasil daripada sumber berkenaan (turut terjejas),” katanya.
Menurut De Oliveira, pelaburan dalam sumber tenaga boleh diperbaharui juga memerlukan pelaburan modal yang besar sebelum hasilnya dapat diraih.
Mengikut laporan tahunan PETRONAS 2019, syarikat minyak dan gas negara itu telah menyumbang sejumlah RM1.2 trilion kepada kerajaan setakat 31 Disember 2019.
Prestasi Separuh Pertama
PETRONAS diunjur merekodkan prestasi kewangan positif pada separuh pertama 2021, seiring dengan pencapaian firma minyak utama lain yang turut kukuh dalam persekitatan harga minyak mentah yang tinggi serta permintaan terhadap komoditi ‘emas hitam’ itu.
Keuntungan bersih kumpulan itu meningkat lebih sekali ganda tahun ke tahun kepada RM9.3 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021 daripada RM4.52 bilion bagi suku yang sama tahun kewangan 2020, didorong masuk kira semula susut nilai.
Keuntungan bersih keseluruhan lebih baik itu dicatatkan meskipun perolehan sukuan susut kepada RM52.55 bilion daripada RM59.59 bilion bagi tempoh yang sama.
De Oliveira berkata, harga minyak telah mengatasi jangkaan bagi sebahagian besar tempoh 2021 sekali gus mendorong prestasi kewangan yang lebih memberangsangkan bagi syarikat-syarikat minyak dan gas berbanding ketika tahun bencana 2020.
“Ia sesuatu yang amat mengejutkan jika Petronas mengalami aliran berbeza dalam industri ini pada 2021 memandangkan kawalan sedia ada ke atas kos pengoperasian dan keperluan susut nilai yang lebih rendah,” katanya.
Harga Minyak Mentah
Menurut AmBank Research, secara purata, harga minyak Brent meningkat lebih 50 peratus pada tujuh bulan pertama 2021, mengalami pergerakan naik yang kukuh kepada AS$80 satu tong buat kali pertama dalam tempoh lebih dua setengah tahun.
Aliran meningkat itu bagaimanapun terjejas apabila harga minyak susut selama enam hari berturut-turut mulai 12 Ogos 2021, susulan pelabur bimbang mengenai prospek permintaan bahan api kerana kes Covid-19 melonjak di seluruh dunia ketika lebih banyak bekalan diterima pasaran daripada pengeluar global utama, termasuk AS.
Firma penyelidikan itu menjangkakan harga minyak mentah Brent menguji julat AS$70 tahun ini sebelum pembelian Eropah mula berkurangan dan potensi kembalinya pengeluaran Iran.
“Justeru, Brent mungkin susut semula kepada paras US$70. Kami menjangkakan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengekalkan harga di atas AS$70 setong sehingga akhir 2021.
“Bagaimanapun, keluk hadapan kami menunjukkan nilai saksama akan sedikit rendah di bawah AS$70 setong,” katanya dalam nota penyelidikan pada Rabu.
AmBank Research juga mengunjurkan OPEC dan sekutunya (OPEC+) akan mematuhi sepenuhnya perjanjian tersebut pada separuh kedua 2021 dan pengeluaran minyak mentahnya akan kekal rendah berbanding permintaan pada suku ketiga dan keempat tahun ini.
“Pada suku ini, permintaan terhadap minyak OPEC akan melebihi pengeluaran sebanyak 1.0 juta setong sehari (bpd) namun perbezaan ini akan susut kepada 300,000 pada suku keempat. Pengeluaran kartel akan mencecah purata kira-kira 33.0 juta bpd pada separuh kedua 2021,” jelasnya.
Mengharungi Krisis
Industri minyak dan gas telah mengharungi beberapa krisis industri antaranya semasa Perang Arab-Israel pada 1973, krisis minyak 1979 serta kejatuhan harga minyak pada 2020.
Justeru menurut De Oliveira, sama ada industri akan kekal lemah seperti yang dijangkakan pada masa akan datang, bergantung kepada kadar peralihan kepada sumber tenaga bersih.
Beberapa penggiat terkemuka global telah memberi isyarat mengenai tindakan pelaburan mereka bagi mengurangkan pendedahan terhadap bahan api fosil.
Sebagai contoh, BP telah menamatkan penggunaan kaedah metrik tradisional nisbah penggantian rizab yang sebelum ini dilihat sebagai petunjuk kukuhnya sesebuah syarikat minyak, berikutan ia menunjukkan kapasiti pengeluar untuk mengekalkan paras output.
“Bagaimanapun, jika anda memberi keutamaan terhadap sumber tenaga lebih bersih, anda mahu menunjukkan langkah untuk meninggalkan perniagaan teras itu.
“Sekiranya kerajaan dan syarikat benar-benar komited terhadap pelepasan sifar bersih menjelang 2050, industri minyak dan gas akan terus merosot walaupun kita dapat menjangkakan ketidakstabilan kitaran harga dan pelaburan apabila penawaran dan permintaan tidak lagi seimbang,” katanya.
Dalam temu bual dengan Bernama pada Februari, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, kemerosotan harga minyak pada 2020 adalah petunjuk jelas bagaimana keadaan boleh berubah dalam sekelip mata.
Syarikat minyak dan gas itu telah melaksanakan usaha tenaga boleh diperbaharui secara agresif selain memulakan langkah untuk meneroka tenaga solar.
PETRONAS, pengeksport gas asli cecair keempat terbesar dunia akan turut meningkatkan usaha ke arah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dikenali Skop 1 dan Skop 2, merujuk kepada pengeluaran langsung daripada operasi dan elektrik yang digunakan oleh syarikat.
– Bernama