
Dato Sri Julaihi Narawi ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung PBB Ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
PETRA JAYA: Harga gas petroleum cecair (LPG) PetrosNiaga bagi pengguna domestik kekal pada kadar subsidi RM26.60 dan tidak boleh dinaikkan sesuka hati.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ini adalah harga kawalan ditetapkan, namun beliau mengakui terdapat situasi tertentu yang memerlukan budi bicara daripada peruncit, terutama bagi kawasan yang jauh.
“Itu terpulang kepada mereka. Jika mereka mendapatkan LPG pada harga RM26.60 tetapi berada di kawasan jauh, itu bergantung kepada budi bicara mereka.
“Namun, harga tetap tidak boleh dinaikkan sewenang-wenangnya kerana itu adalah harga yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak selepas menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung PBB Ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Julaihi turut memuji Utusan Sarawak kerana melaporkan maklumat dengan tepat mengenai isu harga LPG, berbanding beberapa laporan lain yang tidak lengkap.
“Utusan Sarawak memberikan laporan yang paling lengkap.
“Saya beri maklumat yang betul di Sejingkat semalam, tetapi ada satu akhbar yang tidak begitu lengkap laporannya. Utusan Sarawak paling tepat,” katanya.
Semalam, Julaihi memberi amaran kepada peruncit supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga LPG secara tidak sah.
Katanya, harga tersebut tidak boleh lebih atau kurang dan mengarahkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) untuk mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini.
“Dalam keadaan bencana alam, semua pihak mesti bekerjasama untuk menyelesaikan masalah, bukannya mengambil peluang untuk keuntungan sendiri,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal