KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menetapkan sebanyak lapan jenis barangan dikawal sempena perayaan Gawai Dayak di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) berkuat kuasa hari ini hingga 4 Jun ini.
Lapan jenis barangan tersebut ialah ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih (China), kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), ubi kentang import (China), khinzir hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging khinzir (perut) dan daging khinzir (daging dan lemak).
Selain itu, enam jenis barangan daripada kategori ayam dan telur sedang dikawal di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang sedang berkuat kuasa sejak 5 Februari 2022.
Ketua Setiausaha KPDN Datuk Azman Mohd Yusof berkata, tempoh pelaksanaan adalah selama tujuh hari bermula hari ini iaitu tiga hari sebelum perayaan, semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan.
“Tiga pelaksanaan skim ini bertujuan menstabilkan harga barangan semasa permintaan terhadap barangan dijangka akan meningkat semasa menjelangnya perayaan, semasa perayaan dan beberapa hari selepas perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai 2023 peringkat Negeri Sarawak di Farley Supermarket, Batu 6 di sini, hari ini.
Mengulas mengenai bekalan gula pasir di pasaran Datuk Azman menjelas pengeluar utama gula pasir di negara ini mengikut arahan untuk membekalkan 42,000 tan gula setiap bulan.
“Tiada timbul isu kekurangan bekalan gula meskipun ada aduan mendakwa jualan bahan itu di beberapa tempat dihadkan.
“Permintaan gula meningkat disebabkan faktor perayaan. Ia menyebabkan peniaga mengambil pendekatan sendiri untuk mengehadkan jualan bagi memastikan stok sedia ada di premis mereka cukup,” ujarnya.
Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi harga barangan terkawal.
Pada masa sama, peniaga turut diingatkan untuk mematuhi segala peraturan di bawah skim ini bagi mengelakkan sebarang tindakan kelak.
Peniaga yang ingkar akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Oleh Azreen Keria