LAWAS: Berikutan musim tengkujuh, harga ikan dan hasil laut yang lain terutama ikan tahai salai yang menjadi sumber pendapatan utama sebilangan nelayan di Lawas telah melonjak sekali ganda.
Kifli Dahlan, 57, dari Kampung Awat-Awat Sundar berkata, buat masa ini harga ikan tahai salai mencecah RM40 sekilo berbanding musim biasa hanya RM18 sekilo.
“Saya tidak dapat turun ke laut ekoran gelombang dan angin kuat. Kadang-kadang duduk di rumah sahaja dan ada kalanya pergi ke hutan mencari kayu api untuk buat ikan tahai salai.
“Ketika musim tengkujuh ini, hanya ikan tahai salai sahaja pendapatan kami sekeluarga,” katanya.
Ujarnya, ada juga nelayan di kampung yang sama menjual udang kering untuk kelangsungan hidup sepanjang musim tengkujuh ini.
“Musim biasa, harga udang kering RM20 sekilo tetapi sekarang ia dijual pada harga RM50 sekilo.
Kata Kifli lagi, ikan tahai salai dan udang kering ini akan dijual kepada peniaga kedai.
“Nelayan terpaksa menjual ikan tahai salai dan udang kering dengan harga yang tinggi berikutan stok makanan laut itu berkurangan dan sukar untuk mendapatkannya ketika ini.
“Kali terakhir saya turun ke laut dua hari lalu. Tetapi saya bersama enam orang lagi nelayan terpaksa berpatah balik kerana gelombang kuat. Kami pulang dengan tangan kosong,” ujar bapa kepada lima orang anak itu.
Beliau turut berharap agar ada pihak yang memahami keadaan mereka ketika ini dan tampil memberi bantuan.
“Kami juga mendapat bantuan musim tengkujuh daripada kerajaan. Ini sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.
Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia bermula 3 November 2021 dan berterusan sehingga Mac 2022. Dalam tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku.
Semasa fasa awal Monsun Timur Laut iaitu dari November 2021 hingga awal Januari 2022, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. Manakala, pada awal Januari dan Februari 2022, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Sarawak serta Sabah.
Mulai hujung Januari hingga Mac 2022 dijangka cuaca agak kering di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan dan Kelantan. Kebanyakan tempat di Malaysia dijangka menerima hujan pada paras purata sepanjang Monsun Timur Laut kali ini.
Oleh NUR AIN OTSMAN