BENGALURU: Harga emas mencecah paras tertinggi dalam sejarah hari ini, didorong oleh ketidaktentuan sekitar pilihan raya Amerika Syarikat (AS) dan jangkaan lebih banyak pemotongan kadar faedah oleh bank-bank pusat utama, manakala perhatian beralih kepada banyak data dari AS.
Harga spot emas naik 0.3 peratus kepada AS$2,680.19 setiap auns pada 0458 GMT, selepas mencapai rekod tertinggi AS$2,685.60 pada awal sesi.
Niaga hadapan emas AS naik 0.2 peratus kepada $2,695.90.
“Pelabur mencari aset selamat emas sebagai lindung nilai di tengah-tengah ketidaktentuan terhadap pilihan raya AS. Presiden Trump harus menyokong emas kerana ia mungkin meningkatkan ketegangan perdagangan dan meluaskan defisit bajet,” kata Penganalisis Pasaran Kanan OANDA untuk Asia Pasifik, Kelvin Wong.
Calon Republikan, Donald Trump kelmarin mempertahankan dasar perdagangan perlindungannya dan cadangan fiskal lain.
Jualan runcit AS untuk September dan data tuntutan pengangguran mingguan akan dikeluarkan lewat hari ini.
“Pelabur akan meneliti data dan jika ia berada di bawah jangkaan, ia boleh memacu emas lebih jauh. Prospek kadar yang lebih rendah secara global membantu kerana ia mengurangkan kos memegang jongkong,” tambah Wong.
Peniaga melihat peluang 92 peratus untuk pemotongan kadar 25 mata asas oleh bank pusat AS bulan depan.
Bank Pusat Eropah (ECB) berkemungkinan menurunkan kadar untuk kali ketiga tahun ini.
Sementara itu, inflasi Britain turun dengan ketara bulan lalu, yang memperkukuh lagi kemungkinan pemotongan kadar Bank of England bulan depan.
Beberapa penganalisis berkata, emas boleh berdepan rintangan serta-merta pada AS$2,700 tetapi unjuran harga boleh meningkat kepada paras AS$2,900 menjelang tahun depan.
Kadar yang lebih rendah dan ketegangan geopolitik meningkatkan nilai logam berharga itu, yang dianggap sebagai aset selamat.
Peningkatan risiko geopolitik di tengah-tengah ketegangan yang meningkat di Asia Barat juga telah meningkatkan permintaan aset selamat, kata Ahli Strategi Komoditi Kanan di ANZ, Daniel Hynes.
Kebimbangan terhadap konflik yang lebih meluas telah meningkat selepas Israel berjanji untuk membalas serangan peluru berpandu Iran pada 1 Oktober lalu.
Harga spot perak naik 0.6 peratus kepada AS$31.50. Platinum mengukuh 0.7 peratus kepada AS$1,000.50 dan paladium turun 0.6 peratus kepada AS$1,017.26. – BERNAMA