
JULAU: Kenaikan harga bahan api tanpa subsidi sejak beberapa hari kebelakangan ini susulan konflik berterusan antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel dijangka memberi kesan rantaian kepada harga barangan keperluan harian, kata Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.
Katanya, peningkatan harga bahan api seperti diesel berpotensi memberi kesan kepada kos pengangkutan sekali gus menyebabkan harga barangan seperti baja, makanan dan keperluan harian meningkat sekiranya konflik tersebut berlarutan.
“Jika perang berterusan, harga barang seperti baja, makanan dan semua barangan termasuk keperluan harian kita akan naik.

“Walaupun negara kita Malaysia jauh dan tidak terjejas dengan peperangan, namun kos pengangkutan untuk membawa barang ke negara kita kini semakin mahal,” katanya dalam satu hantaran di media sosial Facebooknya, hari ini.
Larry yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), berkata peningkatan kos bahan api turut memberi kesan kepada harga minyak kenderaan termasuk produk berasaskan minyak.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru orang ramai supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
“Memandangkan kenaikan kos yang mendadak ini, saya menyeru rakyat supaya sentiasa berjimat cermat dalam perbelanjaan.
“Seperti program MyLesen, ia adalah perkara yang paling penting kerana kita semua mempunyai subsidi minyak asalkan mempunyai lesen yang sah.
“Jika kita tidak mempunyai lesen, kita tidak boleh menikmati subsidi bahan api,” katanya.
Tambahnya, kos mendapatkan lesen melalui program MyLesen adalah rendah iaitu RM250, sekali gus memberi peluang kepada penduduk menikmati subsidi bahan api yang disediakan kerajaan.
“Saya berharap orang ramai di Julau akan merebut peluang ini secepat mungkin kerana tarikh akhir pendaftaran ialah 24 April 2026.
‘Lesen terhad kepada 1,000 peserta dan buat masa ini 400 orang telah mendaftar,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan bahawa penduduk di kawasan Julau diberi keutamaan dalam pelaksanaan program MyLesen tersebut sebagai usaha membantu meningkatkan akses kepada subsidi bahan api.
Selain itu, Larry turut menyerahkan peruntukan berjumlah keseluruhan RM44,000 sempena program bersama rakyat di Rumah Liba di Nanha Bua baru-baru ini melibatkan beberapa penerima termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Liba, JKKK Rumah Tungku Tanjung Udol, Biro Wanita Rumah Liba, Biro Wanita Rumah Kampit Sangkung, Biro Wanita Rumah Philip Janting dan Gereja Methodist Nanga Matop bagi menyokong aktiviti komuniti setempat.
Oleh Earl Anek