Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Harga bahan api ASEAN berbeza susulan tekanan harga minyak global
  • NASIONAL

Harga bahan api ASEAN berbeza susulan tekanan harga minyak global

Utusan Sarawak 4 hours ago
GAMBAR hiasan. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Harga bahan api di seluruh Asia Tenggara menunjukkan trend meningkat, dengan perbezaan dalam kalangan negara anggota ASEAN mencerminkan rangka kerja subsidi, struktur cukai, dan pendedahan kepada pasaran minyak global yang berbeza.

Trend ini muncul di tengah-tengah ketegangan geopolitik di Asia Barat yang telah memperketatkan bekalan global, melonjakkan harga penanda aras minyak mentah melebihi AS$100 setong, dan mengganggu laluan perkapalan utama, terutamanya melalui Selat Hormuz.

Perkembangan ini mula menguji daya tahan sistem penetapan harga bahan api domestik di seluruh ASEAN, menyerlahkan jurang yang semakin melebar antara pasaran yang dipacu subsidi dengan pasaran yang lebih terdedah secara langsung kepada turun naik harga antarabangsa.

Berlatarbelakangkan situasi ini, Malaysia terus menawarkan antara harga runcit bahan api terendah di rantau ini, disokong oleh subsidi berterusan yang bertujuan melindungi pengguna daripada ketidaktentuan harga global.

Petrol RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter, menjadikan negara ini antara pasaran bahan api termurah di rantau ini walaupun harga minyak mentah global sedang meningkat.

Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan sementara bagi kuota program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa 1 April.

Bagaimanapun, harga RON95 bersubsidi akan kekal tidak berubah, sekali gus mengekalkan harga bahan api yang agak rendah untuk pengguna.

Di Indonesia, bahan api bersubsidi ditetapkan pada harga dalam lingkungan Rp12,000 hingga Rp12,390 (RM2.91-RM2.93) seliter, menekankan pergantungan berterusan Jakarta terhadap sokongan fiskal untuk menstabilkan kos tenaga domestik.

Walau bagaimanapun, penganalisis memberi amaran bahawa pendekatan berat kepada subsidi sedemikian boleh memberi tekanan yang semakin meningkat kepada kewangan kerajaan jika harga minyak global yang tinggi berlarutan bagi tempoh yang lama.

Di negara jiran Singapura, harga petrol kekal yang tertinggi di ASEAN, mencecah sekitar AS$3.42 (RM10.64) seliter, sebahagian besarnya didorong oleh cukai yang tinggi dan dasar yang bertujuan mengurangkan pemilikan kenderaan persendirian.

Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow berkata tahap bekalan bahan api kekal stabil buat masa ini dengan stok simpanan masih utuh, walaupun pihak berkuasa terus memantau keadaan dengan teliti sekiranya terdapat keperluan untuk campur tangan.

Sementara itu, Thailand, Vietnam dan Filipina berada dalam kumpulan pertengahan, iaitu harga bahan api lebih sejajar dengan penanda aras antarabangsa dan dilaraskan secara berkala.

Di Thailand, harga bahan api meningkat sebanyak enam baht (RM0.73) seliter mulai 26 Mac susulan pengurangan subsidi, dengan Gasohol 95 pada 41.05 baht (RM5.00) seliter, Gasohol 91 pada 40.68 baht (RM4.96) dan Diesel B7 pada 38.94 baht (RM4.75).

Mekanisme penetapan harga yang diuruskan kerajaan Vietnam telah membantu meredakan ketidaktentuan melalui semakan berkala, walaupun kenaikan baru-baru ini menjejaki trend global.

Sebaliknya, pasaran bahan api Filipina yang dinyahkawal selia sepenuhnya menyaksikan pelarasan harga setiap minggu, menyebabkan pengguna lebih terdedah secara langsung kepada turun naik harga minyak antarabangsa.

Kemboja dan Laos kekal antara pasaran yang lebih terdedah, dengan harga petrol melebihi AS$1.10 (RM4.41) seliter disebabkan pergantungan besar mereka terhadap produk petroleum bertapis yang diimport.

Kapasiti penapisan domestik yang terhad menyebabkan kedua-dua negara amat terdedah kepada gangguan bekalan luaran dan tekanan mata wang, yang menyumbang kepada tekanan harga yang berterusan di pasaran bahan api Kemboja.

Harga bahan api kekal tinggi di Kemboja minggu ini, sebahagian besarnya didorong oleh pasaran tenaga yang tidak menentu yang terus melonjakkan harga minyak mentah antarabangsa.

Harga diesel, khususnya, telah melonjak mendadak, meningkat lebih 80 peratus sejak konflik Asia Barat meletus pada akhir Februari.

Kementerian Perdagangan Kemboja pada Rabu mengumumkan kenaikan mendadak harga bahan api, dengan diesel meningkat kepada 7,100 riel (RM7.10) seliter daripada 3,750 riel (RM3.80) pada akhir Februari, manakala petrol biasa meningkat kepada 5,450 riel (RM5.50) seliter daripada 3,800 riel (RM3.81) sebelum ini.

Gas petroleum cecair kini berharga 3,200 riel (AS$0.79/RM3.20) seliter, menurut kenyataan kementerian itu.

Kemboja yang bergantung kepada eksport amat bergantung kepada bahan api import untuk memacu ekonominya, dengan harga bahan api yang tidak menentu meningkatkan kos sara hidup.

Memandangkan ketidaktentuan global berterusan, strategi penetapan harga bahan api yang berbeza di rantau ini berkemungkinan akan diteliti dengan lebih mendalam, terutamanya dalam mengimbangi kelestarian fiskal dengan keperluan untuk melindungi pengguna daripada tekanan kos selanjutnya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Amaran ribut petir, hujan lebat di Sabah dan Sarawak hingga 6.00 petang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.