
SIMANGGANG: Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis menegaskan bahawa aspek kualiti perlu menjadi keutamaan dalam pelaksanaan setiap projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Beliau berkata, perkara ini penting bagi memastikan kemudahan yang disediakan tahan lama dan memberi manfaat berpanjangan kepada penduduk.
Tambah beliau, masih terdapat projek yang gagal menekankan kualiti sehingga mengalami kerosakan sebelum sempat digunakan sepenuhnya.
“Sebagai contoh, projek menaik taraf Dewan Surau Darul Hasanah Taman Harmoni menunjukkan beberapa kerosakan seperti sengkuap yang patah dan lantai yang pecah.

“Begitu juga dengan pembinaan Gelanggang Futsal Taman Harmoni yang tidak menepati spesifikasi apabila parkir bersimen yang dirancang tidak dibina,” katanya.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika merasmikan dua projek RTP iaitu menaik taraf Dewan Surau Darul Hasanah dan pembinaan Gelanggang Futsal Taman Harmoni di Dewan Komuniti Taman Harmoni, di sini hari ini.
Beliau turut menggesa pihak pengurusan dewan dan gelanggang futsal supaya mengemukakan aduan rasmi kepada agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), bagi tindakan lanjut terhadap masalah yang dikenal pasti.
“Agensi pelaksana mesti memastikan setiap projek RTP dilaksanakan dengan mematuhi piawaian ditetapkan sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan berkualiti kepada rakyat,” tegasnya.
Projek menaik taraf Dewan Surau Darul Hasanah Taman Harmoni dilaksanakan dengan peruntukan RM100,000, manakala pembinaan Gelanggang Futsal Taman Harmoni termasuk kemudahan tandas menelan kos keseluruhan RM350,000.

Dalam pada itu, Harden mencadangkan agar gelanggang futsal berkenaan dibina berbumbung pada masa akan datang bagi membolehkan penduduk menjalankan aktiviti dengan lebih selesa tanpa mengira cuaca.
Beliau turut mengingatkan penduduk agar menjaga kemudahan awam yang telah disediakan, termasuk Dewan Komuniti Taman Harmoni yang kini dinaik taraf sepenuhnya melalui peruntukan RTP.
Turut hadir Ketua Kaum Taman Harmoni, Ahmad Alwi; Timbalan Pengerusi Surau Darul Hasanah, Hajimalie Morshidi; wakil Majlis Daerah Sri Aman; serta barisan ahli majlis dan penduduk setempat.
Oleh Adi Safarman