
SIMANGGANG: Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis mengingatkan penduduk setempat supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak kontraktor bagi memastikan pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, kerjasama semua pihak amat penting bagi mengelakkan sebarang kelewatan yang boleh menjejaskan kemajuan projek serta manfaat yang bakal dinikmati oleh penduduk.
Pada masa sama, Harden turut menyeru kontraktor agar mematuhi jadual pelaksanaan projek dan memastikan kerja pembinaan disiapkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan supaya tidak berlaku pertindihan dengan projek pembangunan lain pada masa hadapan.
“Penyempurnaan projek mengikut jadual bukan sahaja menjamin kelancaran pelaksanaan projek seterusnya, malah membolehkan kemudahan awam dimanfaatkan oleh penduduk dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak Projek RTP bagi menaik taraf sistem perparitan di Kampung Sri Kejatau, dekat sini, kelmarin bagi meninjau sendiri perkembangan semasa projek berkenaan.
Projek menaik taraf sistem perparitan itu melibatkan kos sebanyak RM300,000 dan telah ditawarkan kepada Awada Engineering & Marketing menerusi kaedah cabutan undi.
Agensi pelaksana bagi projek tersebut ialah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sri Aman yang bertanggungjawab menyelia pelaksanaan kerja agar mematuhi spesifikasi serta piawaian yang ditetapkan.
Tempoh pelaksanaan projek ditetapkan selama empat bulan bermula April lalu dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 20 Ogos depan.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan kemajuan yang diterima, projek berkenaan kini hanya mencapai kemajuan fizikal sebanyak 20 peratus, berbanding sasaran asal 60 peratus, sekali gus menunjukkan ia berada di belakang jadual pelaksanaan yang ditetapkan.
Sehubungan itu, Harden berharap semua pihak berkaitan termasuk kontraktor, agensi pelaksana dan penduduk dapat memainkan peranan masing-masing bagi memastikan projek tersebut dapat dipercepatkan dan disiapkan mengikut jadual demi kesejahteraan serta keselesaan penduduk Kampung Sri Kejatau.
Oleh Adi Safarman