SIMANGGANG: Datuk Francis Harden Hollis akan kekal sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 akan datang.
Beliau yang juga Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti telah mengumumkan perkara itu ketika berucap merasmikan Mid-Autumn Reunion Night of Gengzi di sebuah restoran dalam bandar ini.
Menurut beliau, hasrat untuk mempertahankan kerusi DUN Simanggang yang disandangnya semenjak 1996 itu perlu diteruskan demi kesinambungan perlaksanaan projek pembangunan di kawasan ini.
“Projek-projek mega yang diumum oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ini juga ada dilaksana dalam kawasan DUN Simanggang seperti projek pembinaan Jambatan Batang Lupar Kedua dan Jalan Utama Kedua.
“Justeru, demi memastikan projek ini terus dilaksana di sini maka saya haruslah terus bertindak mempertahankan kerusi DUN Simanggang ini pada PRN-12 nanti demi kepentingan penduduk,” kata beliau.
Harden menerusi majlis itu memohon kepada penduduk DUN Simanggang agar menyebarkan hasrat ini dalam kalangan sanak saudara masing-masing agar mereka lebih bersedia ketika berlangsung pilihan raya itu nanti.
“Sebarkan berita ini kepada saudara dan rakan taulan anda. Pilihlah calon GPS (pada pilihan raya nanti) demi mendukung aspirasi corak pembangunan yang diteraju Ketua Menteri sebelum ini.
“Moga-moga pilihan anda pada PRN-12 ini nanti akan dapat memastikan DUN Simanggang terus maju selangkah ke hadapan demi kebaikan anak-anak dan cucu mereka,” kata beliau.
Terdahulu, ‘Mid-Autumn Reunion Night of Gengzi’ anjuran Persatuan Ketua Masyarakat Kaum Cina Bahagian Sri Aman dan dipengerusinya oleh Pemanca Lee Shiang Hua ini adalah merupakan simbolik meraikan Pesta Kuih Bulan pada tahun ini.
Perayaan ini pada zaman dahulu adalah merupakan medium penghantaran berita sulit pemberontakan penduduk yang berasa tidak puas pemerintah sebelum ia dirai sebagai simbol penyatuan dalam budaya penduduk Cina pada masa sekarang.
Oleh Valentine Ngumbang