Oleh: Adie Abd Gani
HARAPAN nyatalah sesuatu yang menyakitkan. Memang menyakitkan. Ejaannya cuma menggunakan beberapa abjad vokal dan konsonan, mudah untuk dieja dan diungkap, namun, ia masih menjadi sesuatu yang payah untuk dikotakan. Bahkan harapan bukan sesuatu yang senang untuk dibedah pengertian sebenarnya.
Ibarat gugusan bunga durian yang mengudup sekumpulan di tangkai, menunggu agen pendebungaan menyunting manisnya. Dihitung pada bunganya sahaja, mungkin banyak buah durian yang bakal meranum. Tapi, boleh jadi, satu pun tak lekat hingga ke akhir musim.
Ketukan di pintu bilikku tiba-tiba bersipongang, memecah hening pagi pejabat. Aku yang duduk di kerusi biru berkonsepkan ergonomik menyahut manja sambil memerhatikan kertas kajian berkenaan produk-produk hiliran yang boleh menjana laba daripada kuntum-kuntum durian. Separas wajah dengan senyuman nipis menampakkan diri. Kak Mariani menolak pintu sepenuhnya setelah memerhati kepalaku mengangguk, membenarkan dia masuk. Perlahan dia melangkah sehingga jasadnya tegak berdiri betul-betul semeter di hadapanku. Tangannya terletak di belakang pinggang dan lebar senyumnya semakin rapat ke telinga.
Tanpa segan, Kak Mariani lantas mengemukakan cadangannya untuk hujung minggu nanti. Dia memberitahu bahawa dia sudah mengajak Bang Mahran dan Kak Tina untuk pergi bersama-sama. Rupa-rupanya, iringan senyum lebar tadi membawa hajat besar. Mereka ingin berkelah di kebun durian milikku, yang berdekatan dengan lembah Bukit Sejinjang, terletak tidak jauh dari perjalanan ke Santubong. Namun, cadangan yang diajukan masih tak berjawab. Aku masih mengekalkan pandangan ke monitor dan jemari pula lincah menari di papan kekunci menaipkan sesuatu.
Detikan papan kekunci yang membuahkan kawad aksara di monitor, tiba-tiba meledakkan benakku dengan perihal pernah terjadi sebelum ini. Aku dijanjikan oleh mereka bertiga untuk bersama-sama mengunjungi Pasar Serikin sebulan yang lalu. Akhirnya, aku cuma tersadai di tepi jalan setengah hari, kepanasan tanpa bantuan dan liputan komunikasi memang menyeksakan. Keseorangan.
Bibirku mencebik, dahi berkerut. Kulit pipiku pula menggersang, segersang Gurun Sahara, hanya dengan membayangkan peristiwa tersebut. Tidak lama, lamunanku terus digertak Kak Mariani yang tidak selesa akan diamku. Aku menoleh dengan paras kosong, sambil jemariku menggenggam bucu kertas yang ada di atas meja. Menunjukkan sedikit protes bahawa aku enggan lagi dibentang dengan rencana yang bukan kemahuanku.
Aku sememangnya tidak gemar ditunggu untuk sepatah jawapan. Melainkan mereka mengkehendakkan ketidakikhlasan. Lantas sepucuk idea untuk mencantas pertanyaan Kak Mariani, bertunas.
Dengan nada selamba, aku menyatakan bahawa aku akan memberikan keputusan untuk rancangan tersebut kelak. Kak Mariani seakan-akan akur. Pandanganku juga masih tidak dialih dari monitor. Bahkan, timbunan kertas memorandum rasmi di atas meja yang memerlukan tindakan segera, aku gapai dan hentak perlahan, menandakan aku sememangnya sibuk. Kak Mariani terus berpaling dan beredar. Sempat dia menayangkan senyumannya lagi sebelum sepenuhnya keluar, seakan-akan memberi petunjuk bahawa dia menunggu jawapan positif dariku.
“Jangan risau, kalau ada apa-apa, petang nanti saya bagitau, ye Kak,” aku bersuara.
Sedari tadi melihat juadah-juadah dicipta daripada bunga durian, membuatkan perutku berkeroncong lapar. Alangkah sedap kalau lauk tengah hariku adalah sayur tumis bunga durian yang arwah emak selalu masak dahulu.
Dulu, hampir setiap hari rasanya, semasa musim durian, sayur tumis menjadi santapan. Juadah yang takkan menjemukan rengkung. Juadah kegemaran. Di situ juga aku berasa beruntung, beroleh isteri yang merupakan peminat masakan berasaskan bunga durian. Dan sememangnya, resepi arwah emak menjadi pilihan kami semua. Masakan tidak, resepi dari buku resepi arwah, siap ditampal di dinding kabinet dapur lagi.
3 mangkuk besar bunga durian (dibersih dan ditoskan)
1 cawan cendawan hitam kering
3 batang kacang panjang
2 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
9 biji cili padi
Segenggam ikan bilis
½ inci belacan
½ senduk minyak masak
1 sudu kecil serbuk perasa
1 sudu kecil garam
Ya, memang menjadi kegemaranku jikalau bunga durian dimasak bersama belacan. Aroma dan rasanya tiada tandingan. Nasi panas yang kebiasaannya dielak, tidak berasa, malar bertambah oleh penangan tumisan bunga durian.
Kadang-kadang, jika bunga durian hanya sedikit, arwah emak pasti akan menambah sayuran lain untuk memperbanyak dan menyedapkan tumisannya. Isteriku pula, pasti akan mencampurkan pucuk tauge ke dalam masakannya untuk memberikan kelainan. Jikalau aku pula yang menjadi petualang di dapur, sudah tentu aku akan memperbanyakkan potongan kacang panjang. Lobak merah yang dihiris halus serta carikan tauhu kering akan aku campur sekali, sekiranya ada.
Kebetulan sebelum keluar dari pejabat, aku terserempak dengan Bang Mahran dan Kak Tina. Sebelum disoal, aku terus menyatakan bahawa aku mungkin ke dusun hujung minggu ini. Tambahku lagi, kawasan hujung dusun yang kutanam dengan serai, limau purut, kunyit dan lengkuas jarang sekali aku tebas. Serimas perasaan tatkala aku bercerita akan lalang-lalang tinggi, rimas lagi wajah Bang Mahran dan Kak Tina. Bersambung dengan dekahan kecil – seperti dipaksa. Aku pula menyahut dengan ukiran separa manis, melengkung sederhana di pipi. Memaksakan etika – agar tidak kelihatan kekok.
Setiba aku di kereta, Kak Mariani memanggil nama. Aku tangkas menoleh ke arah kereta merah gelap yang tidak jauh letaknya di luar pagar pejabat. Aku mengangkat tangan, lalu bergerak ke arahnya. Kedengaran bunyi geseran cermin pintu hadapan kereta diturunkan. Suami Kak Mariani yang perlahan menampakkan wajahnya, menghulurkan tangannya kepadaku. Tanganku erat disalamnya. Aku terangguk-angguk, tersipu malu.
Kelihatan Kak Mariani membongkokkan badannya, seakan-akan mengambil sesuatu dari ruang kaki di dalam kereta. Aku dihulurkan kontena berbalut plastik hitam.
“Nah, ni ikan masih yang kakak cakap haritu. Buatla lauk masak lemak ke, acar ke. Sedap. Gerenti nak lagi,” ujar Kak Mariani.
Lantas terima kasih kulontarkan kepada mereka berdua. Berterima kasih kerana mengotakan janjinya untuk memberikan ikan masin yang dijanjikan sebulan yang lalu.
Riak gembira di wajahku tidak dapat disembunyikan lagi. Benakku seperti sudah meneka-neka, juadah yang bakal aku masak sementelahan sampai di rumah kelak. Aku juga tahu, isteriku pasti tersenyum lebar kelak, dengan buah tangan kubawa balik ini.
Sesudah sampai di rumah, keberadaan Azman, anak lelaki sulungku, dikesan. Belum sempat isteriku membuka mulut hendak bersalam denganku, Azman pantas berlari-lari anak dan memeluk kakiku. Plastik hitam berisi ikan masin tadi aku letakkan di atas meja makan sambil menceritakan tentang niat Kak Mariani, Bang Mahran dan Kak Tina untuk melawat dusun durian hujung minggu ini. Isteriku mengangguk-angguk tanda faham.
Azman yang berpaut erat di kaki tadi, kugapai dan kujunjung tinggi, lalu didudukkan di meja makan. Dioles-oles manja rambut hitamnya yang sederhana panjang sambil memerhati wajahnya, menampakkan kepanjangan raut wajah dan mata nan membuntang. Memang tak ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Sebiji tulen, Azman adalah cetakan muka aku sewaktu kecil dahulu.
Kemudian, tangkas aku menoleh, memerhati isteriku dengan gaya yang serupa. Tanpa berkata apa-apa, riakku sudah cukup menampakkan aku cuba memohon kebenaran dan persetujuannya untuk ke dusun, bersama-sama mereka, kelak.
Orang kata, kalau kita asyik memberitahu ke mana saja kita berada dengan isteri, bermakna kita takut akan mereka. Bagi aku tidak sama sekali. Itu adalah tanda bahawa aku hormat akan isteriku. Dan aku pasti, dalam setiap langkahan, pasti terpaut doanya yang sering menginginkan aku berjaya, selamat senantiasa serta dimurahkan kurnia.
“Abang pergi la dengan mereka. Lagipun, saya nak jaga Azman jugak. Dia kan tak berapa sihat. Tambah pula, kalau tak sarat tadi, memang saya nak ikut,” ujar isteriku dengan nada pasrah.
“Abang, kalau ada bunga durian nanti, ambik banyak-banyak tau,” sambungnya lagi.
Nada pasrahnya mendayu-dayu ke telinga. Bunga durian – sesuatu yang lama sudah dia idam. Tapi sejak kebelakangan ini, dia tidak pernah menyuarakan kehendaknya untuk berlaukkan bunga durian kepadaku. Kalau tidak, aku boleh sahaja singgah ke pasar basah untuk mencari segenggam buat meredakan kehendak tekak. Biar hilang nafsu nan membuak-buak.
Persetujuan dari isteriku, kusambut dengan senyuman manja. Dia pun membalas dengan dakapan erat sambil memerhati Azman yang leka bermain di atas meja. Keesokan harinya, aku menyiapkan beberapa kelengkapan berkebun untuk dibawa bersama. Bayangan pohon-pohon renek dan lalang yang sudah tinggi, menjangkau ketinggian tanaman yang kutanam menjadi pemangkin semangat. Mancis dan beberapa naskah surat khabar lama, aku sempat selit ke dalam kotak untuk menghidupkan unggun api kelak.
Perjalanan ke dusun durian sepanjang jalan peri mendamaikan. Perlahan-lahan beberapa jaluran hutan konkrit bertukar menjadi landskap kehijauan. Bukit dan banjaran gunung yang tampak kecil dan kabur dari kawasan perumahanku kini sungguh dekat dan menakjubkan. Memang rugi kiranya, sesiapa yang bertanah di kawasan seperti ini, tetapi tidak mengusahakannya. Kalau ditanam dengan pokok-pokok buah tempatan pun sudah memadai. Sesudah ditanam, cuma datang untuk membaja, merumput dan selang beberapa tahun, insya Allah, boleh dituai hasilnya.
Kereta kuperlahankan semasa menghampiri simpang masuk ke dusun. Sambil bersiul kegembiraan, aku sempat memikirkan betapa lamanya, aku tidak menjejakkan kaki ke dusun ini. Alangkah seronoknya, jikalau dapat ke dusun bersama-sama. Isteriku boleh mengarang beberapa ramuan yang dapat disayurkan, manakala Azman dapat bermain di sekeliling dangau dan aku pula boleh mengajar dia mengenali beberapa tumbuhan dan haiwan yang terdapat di kawasan kebun.
Pastinya pengalaman seperti itu, senantiasa mekar dalam ingatannya. Kenangan aku yang masih kecil bersama ayah di kebun dahulu (walaupun masih belum diusahakan sepenuhnya), tekal membugar di benak. Masih lagi kuingat, aku diajarkan membuat lubang untuk menanam pokok durian. Anak pokok yang ditanam di dalam polibeg, bersebelahan dengan dinding dangau usang – diangkut sebelum ditimbus kembali tanahnya menggunakan cangkul. Semua tanpa bantuannya. Ayah hanya akan mengarahku.
Setelah sampai di depan pagar dusun, aku berhenti. Kelibat kereta kawan sepejabatku masih belum kelihatan. Mungkin sahaja aku terlalu awal atau mereka masih dalam perjalanan. Sesat itu pasti tidak. Sudah acapkali aku membawa mereka meneroka kawasan dusun ini.
Aku matikan enjin kereta dan tangkas keluar. Semak yang tinggi di hadapan pagar menghalang penglihatan ke arah kebun. Diselakku beberapa tunjangan rumpai, namun masih terhalang. Mataku juga liar memerhati sekeliling, waspada akan serangan mengejut binatang berbisa. Juga memerhati sekiranya terdapat bekas-bekas yang mencurigakan di antara liuk-lintuk lalang.
Kaki dihentak, seiringan dengan detak jam. Aku mula merasa resah. Tidak mungkin perjalanan mereka mengambil masa selama ini. Jika ditelaah satu-persatu lokasi rumah mereka dengan jarak ke dusun durianku, tentunya lokasi rumah Kak Mariani yang paling dekat. Seterusnya, rumah Bang Mahran dan selepas itu barulah rumah Kak Tina.
Dalam kegelisahan, aku cuba mencapai telefon bimbit yang tersemat di poket hadapan, entah-entah ada satu atau dua panggilan yang terlepas pendengaran. Tiada. Langsung tiada. Tiada satu pun panggilan atau mesej yang masuk ke peti telefon bimbitku. Wajahku semakin rimas. Pintu kereta kubuka dan kurehatkan punggungku di atas kerusinya. Fikirku, tak guna kalau nak tunggu lama-lama sambil berdiri. Baik aku hilangkan debar penantian sambil mendengar lagu di radio. Enjin kereta aku hidupkan dan kerusi kurebahkan.
“Vrooooooooommm vroooom,” teriak ekzos beberapa buah motosikal yang memecut, melintasi keretaku.
Aku tangkas bangun dek mendengar pecutan nyaring. Ternyata aku terlelap, menunggu kedatangan mereka. Sebelum khalayak mat rempit hilang dari pandangan, aku sempat menoleh ke kiri. Mengamati gelagat siapa memandu laju di kawasan jalan dusun, yang sepatutnya sunyi dari manusia. Memang membahayakan. Pada beberapa buah motosikal, kelihatan mereka seperti membawa sesuatu di dalam guni kecil. Kelihatan juga bungkusan plastik besar bewarna hitam. Ada yang diletak di bakul hadapan, dan ada pula yang dikendong oleh pembonceng di belakang.
“Kak Mariani? Tidak mungkin.” Hatiku bersuara secara tiba-tiba.
Aku masih tergamam. Khalayak yang paling akhir tadi seakan-akan aku kenal. Memang kenal. Lagipun, motosikal yang ditunggang olehnya bersama seorang lelaki, yang mungkin suaminya, aku peri kenal. Kepalaku sudah mula mengesyaki sesuatu. Aku lantas keluar dari kereta dan membuka kunci pagar dusunku.
Telefon kuseluk dari poket. Aku mula menghubungi Bang Mahran. Dia menjawab. Dia menyatakan dia tidak dapat mengikuti rancangan pada pagi ini kerana terdapat perkara yang lebih mustahak untuk diselesaikan. Dia sempat meminta maaf kerana terlupa untuk memberitahu aku. Akan tetapi, kebingungan masih berdengung di kotak jiwaku. Aku cuba menelefon Kak Tina. Dia tidak menjawab. Gelisahku semakin membuak. Jikalau dibiarkan, mungkin saja marahku menjelma dalam bentuk tiga dimensi.
Padang rumput kurandai pantas. Dalam setiap langkahan bermain semua sangkalan negatif tentang apa yang mungkin terjadi. Dan ternyata, sangkalan yang bermain di hujung benak menjadi kenyataan. Apa yang aku tanam selama ini telah dicuri. Sepertinya, bukan hasil dusunku sahaja yang menjadi mangsa.
Laluan rumput yang telah ditebas jelas membawa haluan ke arah dua kebun bersebelahan. Mataku liar memerhati sekeliling. Dalam ketergamaman, hatiku masih cuba mencari apa yang masih ada. Apakan daya, hati terlebih dahulu bergenang sebak dan kecewa lantas melemahkan nekad. Aku mengeluh lalu melutut. Tanganku lantas menggenggam tanah, menyambut badanku yang sudah longlai, dan rebah ke hadapan. Erat. Memang erat tanah kugenggam.
Dalam suasana hiba, aku merasakan sesuatu mendarat betul-betul di atas kepalaku. Kugapai perlahan dengan tangan kananku. Rupa-rupanya, bunga durian. Bunga durian yang dipesan isteriku. Bunga durian yang sering dimasak arwah emakku setiap penghujung tahun. Bunga durian yang menjadi juadah kegemaranku. Lalu kudongakkan mukaku ke atas. Beberapa kuntum bunga durian mulai gugur, hinggap ke mukaku, dan ada pula yang disambut tanah.
Dalam beberapa minit sahaja, kawasan sekelilingku mulai keputihan akan kuntuman bunga durian, seolah-olah membias cahaya harapan dalam gempita kesedihan yang melanda diriku. Dalam tak sedar, mulutku dikatup rapat sambil menahan genangan air mata. Akan tetapi, kuntuman putih kekuningan yang kupegang melunaskan ngongoian diri.
Ya, harapan memang sesuatu yang menyakitkan. Ia juga sesuatu yang memberikan kita kekuatan. Tapi yang pasti, harapan isteriku mengidamkan bunga durian dapat aku realisasikan.
“Alhamdulillah…syukur ke hadrat-Mu, ya Allah!” ujarku tiba-tiba.